Anggota Marin AS ditahan bunuh, rompak wanita Jepun

OKINAWA - Anggota Marin Amerika Syarikat (AS) ditahan polis selepas disyaki membunuh dan merompak seorang wanita tempatan di sebuah hotel di Jepun, lapor NHK Japan News.
Suspek dikenali sebagai Devin, 20, yang bertugas di Pangkalan Marin AS Futenma, disyaki membunuh Yagi Anna, 39, antara kira-kira jam 2 pagi hingga 4 pagi pada Sabtu.
Polis berkata, pemeriksaan terperinci terhadap mayat mangsa mendapati wanita itu meninggal dunia akibat sesak nafas disebabkan tekanan pada bahagian leher.
Devin turut disyaki mencuri dompet dan barangan lain milik mangsa.
Rakaman kamera keselamatan (CCTV) hotel menunjukkan seorang individu memasuki bilik bersama seorang wanita sebelum keluar dengan membawa beberapa barangan.
Menurut polis, rambut dan tatu individu dalam rakaman berkenaan mempunyai persamaan dengan ciri fizikal pada Devin.
Devin ditemui polis pada lewat malam Sabtu di sebuah kawasan hiburan di Okinawa City, kira-kira 18 kilometer dari hotel berkenaan.
Suspek bagaimanapun menafikan dakwaan terhadapnya ketika ditahan.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menyifatkan kes pembunuhan dan rompakan itu sebagai jenayah yang kejam.
Beliau turut menggesa AS supaya memperketatkan disiplin dalam kalangan anggota tenteranya yang ditempatkan di Jepun.
Takaichi berkata, kerajaan Jepun telah meminta kerjasama penuh AS dalam siasatan selain mengambil langkah menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
