Pekerja asing jadi kluster ‘bom jangka’ di Singapura

Beberapa pekerja asing di Singapura dilihat sedang berehat di asrama mereka berikutan langkah kuarantin dikuatkuasakan pemerintah.
Beberapa pekerja asing di Singapura dilihat sedang berehat di asrama mereka berikutan langkah kuarantin dikuatkuasakan pemerintah.
A
A
A

LEBIH 12 minggu telah berlalu sejak Singapura melaporkan kes pertama jangkitan Covid-19 pada 23 Januari lepas melibatkan seorang warga China berusia 66 tahun yang datang ke negara itu tiga hari sebelumnya.

Pada awalnya, status Singapura sebagai negara pulau kecil kelihatan di landasan terbaik apabila ia mampu membendung gelombang awal kes Covid-19 dengan menjalankan kuarantin dan pengesanan kontak bagi memastikan individu yang mungkin terkena jangkitan diasingkan.

Namun panas yang disangka hingga ke petang akhirnya hujan pada tengah hari.

Singapura kini dilanda gelombang kedua Covid-19 yang lebih dahsyat apabila mencatatkan rekod kenaikan mendadak lebih 1,400 kes dalam sehari pada Isnin lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif lebih 9,000 kes setakat ini.

Meskipun di negara lain yang teruk terjejas seperti barat Eropah dan Amerika Syarikat (AS) terdapat ribuan kes positif yang direkodkan setiap hari, namun bagi Singapura yang dihuni 5.7 juta penduduk dengan kawasan seluas kira-kira 700 kilometer persegi, iaitu lebih kecil berbanding bandar New York, angka tersebut amat signifikan.

Di mana silapnya hinggakan Singapura kini menjadi negara Asia Tenggara dengan jumlah kes tertinggi Covid-19?

Sehingga April, Singapura kelihatan berjaya mengatasi penularan virus maut itu, namun akibat buruk terpaksa ditanggung apabila kerajaan terlepas pandang kluster melibatkan pekerja asing terutamanya dari Asia Selatan yang tinggal di asrama sempit dan penuh sesak.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kes Covid-19 di Singapura.
Peningkatan kes Covid-19 di Singapura.

Kluster pekerja asing itu didakwa terlepas daripada menjalani ujian saringan pada peringkat awal dan akibatnya kini beberapa asrama telah dikuarantin dan kerajaan mempertingkatkan ujian saringan terhadap semua pekerja.

Tidak dapat dipastikan sama ada jangkitan berasal daripada pekerja asing yang datang dari luar atau virus terbabit telah lama berada dalam kalangan mereka.

Pekerja asing

Apa yang jelas, keadaan tempat tinggal pekerja asing terbabit tidak memungkinkan langkah penjarakkan sosial atau kuarantin dilakukan.

“Asrama tersebut umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletup,” kata seorang peguam Singapura dan bekas diplomat, Tommy Koh sambil menambah setiap bilik asrama dihuni kira-kira 12 orang pekerja.

Sejak kenaikan mendadak kes Covid-19, Singapura melaksanakan apa yang dipanggil sebagai circuit breaker (pemutus litar), satu sekatan baharu yang disertakan hukuman keras bertujuan untuk menyekat gelombang kes baharu.

Menjawab persoalan adakah Malaysia juga berpotensi mengalami situasi sama seperti di Singapura, pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, tidak mustahil apa yang berlaku di Singapura terjadi di Malaysia sekiranya negara tidak mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

“Apa yang berlaku di Singapura kemungkinan disebabkan terlepas pandang kluster dalam komuniti yang boleh membawa jangkitan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Dr Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya, seharusnya tidak berlaku blind spot terhadap komuniti pekerja asing kerana mereka juga berpotensi menularkan jangkitan.

Profesor Dr Sazaly Abu Bakar
Profesor Dr Sazaly Abu Bakar

“Komuniti ini tidak akan segera mendapatkan rawatan terutama mereka yang tidak mempunyai dokumen sah kerana bimbang ditahan. Oleh itu ujian seharusnya dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan tiada yang terlepas pandang.

“Di sinilah kepentingan melakukan saringan secara besar-besaran sepertimana yang dilakukan di Korea Selatan. Ia bagi membolehkan kita mengetahui data sebenar jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail turut bersetuju Malaysia mungkin menerima nasib sama sekiranya tidak mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penularan Covid-19.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada kelompok yang baru pulang dari luar negara, pastikan mereka tidak terlepas daripada menjalani saringan.

“Selain itu lubang-lubang penyeludupan perlu dijaga rapi bagi mengelakkan kemasukan warga asing yang mungkin membawa jangkitan.

Dr Ahmad Shukri
Dr Ahmad Shukri

“Menyentuh tentang pekerja asing di negara kita, majikan harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja masing-masing.

“Sekiranya berlaku kes jangkitan majikan harus memaklumkan pihak berkuasa dengan segera dan membawa pekerja mendapatkan rawatan selain memaklumkan pihak kedutaan untuk tindakan lanjut.

“Kita masih belum boleh bersenang-senang meskipun kes jangkitan menunjukkan penurunan. Sebaliknya kita perlu mempertingkatkan usaha agar apa yang berlaku di Singapura tidak berlaku di Malaysia,“ katanya.