'Anak saya tidak akan kembali, saya mahu keadilan' - Bapa Asiah

Antara gambar dikongsikan menerusi media sosial.
Antara gambar dikongsikan menerusi media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Saya tidak dapat meminta anak saya kembali kerana dia sudah tiada di dunia ini. Apa yang saya minta ialah pembelaan dan hukuman yang sewajarnya, seberat-beratnya terhadap pelaku.”

Demikian luahan Ahmad Syahir Mohammad Nor Izam, bapa kepada Asiah Ahmad Syahir, 5, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini, Sabtu lalu.

Ahmad Syahir berkata, beliau bersama isteri dan seluruh keluarga reda menerima pemergian anak mereka sebagai ketentuan ALLAH, namun berharap keadilan dapat ditegakkan menerusi proses undang-undang.

Beliau berkata, keluarganya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan pembelaan sewajarnya buat arwah, selain menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada pihak polis.

"Pertama sekali, saya isteri dan seluruh keluarga reda atas ujian ini, saya menerima bahawa segala-galanya adalah kehendak ALLAH.

"Kami berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan dan akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keadilan buat arwah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Asiah yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Asiah yang menaiki Perodua Bezza bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini Sabtu lalu, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, kenderaan BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Asiah yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.

Mengulas perkembangan siasatan, Ahmad Syahir berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada polis berhubung tindakan yang akan diambil dalam kes berkenaan.

Beliau dimaklumkan bahawa perkembangan terkini akan diberikan oleh pihak berkuasa, namun masih belum menerima pengesahan mengenai status individu yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu.

"Saya dimaklumkan bahawa akan ada tindakan lanjut hari ini, itu sahaja maklumat yang saya terima setakat ini," katanya.

Ahmad Syahir dilihat mendukung Asiah sejurus selepas kemalangan.
Ahmad Syahir dilihat mendukung Asiah sejurus selepas kemalangan.

Mengimbas kejadian, Ahmad Syahir yang bertugas sebagai bilal berkata, beliau bersama isteri dan dua anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Pencala selepas bersiar-siar di Keramat.

Mereka ketika itu bergegas pulang kerana beliau perlu melaungkan azan Asar, namun perjalanan berkenaan berakhir dengan tragedi yang tidak disangka-sangka.

"Kejadian itu berlaku sangat pantas, dalam sekelip mata dan memang tidak diduga,” katanya.

Ahmad Syahir berkata, selepas kemalangan berlaku, beliau cuba menenangkan diri bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ketika itu.

Katanya, dia dan isteri berada dalam keadaan sedar selepas kejadian membolehkan mereka bertindak dalam situasi cemas berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Syahir berkata, keluarganya tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana pihak susulan tragedi berkenaan.

Sebaliknya, beliau berharap kes itu diserahkan kepada proses undang-undang dan menjadi titik permulaan kepada penambahbaikan dalam menangani kes kemalangan yang mengakibatkan kematian.

"Jika kita lihat kes-kes sebelum ini, termasuk kes langgar lari yang mengakibatkan kematian, ada mangsa yang tidak mendapat pembelaan.

"Saya sangat berharap undang-undang di Malaysia dapat dilaksanakan dengan adil dan membuktikan bahawa sistem perundangan negara ini telus, itu yang saya harapkan," katanya.

Beliau turut berharap hukuman sewajarnya dikenakan terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab berdasarkan hasil siasatan dan proses perundangan.

"Anak saya sudah tiada dan saya tidak boleh mengembalikannya, apa yang saya harapkan hanyalah pembelaan dan keadilan buat arwah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!