MAIPk taja 40 belia asnaf jalani TVET pembinaan

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan sebanyak RM380,000 bagi menaja seramai 40 belia asnaf mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf iaitu TVET MAIPk dalam bidang pembinaan.
MAIPk dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, program itu bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal golongan asnaf sekali gus membuka peluang lebih luas untuk mereka memasuki pasaran pekerjaan dalam sektor pembinaan.
Peserta berkenaan akan menjalani latihan kemahiran di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara menerusi tiga bidang khusus iaitu Prime Mover, Tower Crane dan Scaffolding.

Menurut kenyataan itu, tajaan berkenaan turut melengkapkan sasaran 170 peserta asnaf dalam bidang pembinaan bagi tahun ini daripada keseluruhan 1,200 peserta yang disasarkan mengikuti program TVET MAIPk sepanjang 2026.
“Bagi sebahagian belia asnaf, kekangan kewangan dan peluang yang terhad boleh menjadi penghalang untuk mendapatkan latihan kemahiran serta pekerjaan yang lebih baik.
“Justeru TVET MAIPk hadir sebagai jambatan yang menghubungkan golongan ini dengan peluang membina kerjaya,” menurut kenyataan itu.
Majlis pelepasan peserta berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini dan disempurnakan Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan oleh ABM kepada Zakat Perak Al Ridzuan.
MAIPk turut merakamkan penghargaan kepada ABM atas kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan, khususnya menerusi penyediaan latihan kemahiran dalam sektor pembinaan.
Menurut MAIPk, kejayaan program itu bukan hanya diukur melalui jumlah bantuan yang disalurkan, sebaliknya turut dinilai berdasarkan perubahan kehidupan peserta selepas memperoleh kemahiran dan pekerjaan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat membantu peserta membina kerjaya, meningkatkan taraf hidup serta berupaya menyara keluarga menerusi kemahiran yang diperoleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

