X

Kindly register in order to view this article
!

Menunggu Ramadan istimewa

A
A

INSYA-ALLAH pada 23 April 2020, kita akan bersama-sama menunggu perisytiharan tarikh bermula ibadah puasa bulan Ramadan bagi tahun 1441 Hijrah.

Ramadan pada tahun ini dijangka disambut pada hari Jumaat 24 April 2020 ataupun pada keesokannya.

Ramadan adalah salah satu bulan yang diberkati ALLAH SWT dengan segala ganjaran dan kelebihan yang diperuntukkan khas bagi kaum Muslimin.

Bulan ini adalah bulan ibadah dengan setiap tahun akan disambut secara bersungguh-sungguh oleh para Muslimin dengan melipatgandakan segala amalan baik seperti solat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, menjamu orang berbuka puasa dan banyak lagi.

Ini bertepatan dengan banyak hadis Rasulullah SAW berkaitan dengan amalan dan kelebihan Ramadan. Di antaranya ialah:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada ALLAH, serta mengharapkan keredaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Nabi SAW ialah manusia paling dermawan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan.” (HR Bukhari)

“Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkah, ALLAH mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, syaitan diikat dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Terdapat banyak lagi hadis-hadis lain berkait dengan Ramadan yang boleh kita sama-sama rujuk bagi memanfaatkan lagi amalan kita pada bulan yang mulia ini. Sememangnya ia adalah bulan yang ditunggu-tunggu dan rugi bagi sesiapa tidak memanfaatkannya.

Namun, ujian Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang kita hadapi akan memberi new normal kepada kita dalam meraikan Ramadan pada kali ini.

Ia bakal menjadi satu sejarah dan memori kepada kita dan anak-anak tentang bagaimana kita akan bersama mengharungi Ramadan yang berlainan daripada Ramadan-Ramadan sebelum ini.

Kebiasaan

Pada kebiasaannya, kita akan bersama-sama sahabat handai, rakan taulan, keluarga dan jiran-jiran untuk ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.

Ada yang mencari imam-imam dengan bacaan yang lunak dan bagus, ada yang memilih rakaat yang banyak dan ada juga yang mencari moreh yang sedap.

Namun, Ramadan ini, para ayah dan ketua keluarga akan mempamerkan kemampuan masing-masing untuk bersama keluarga mengetuai solat tarawih dengan keunikan yang tersendiri di rumah masing-masing.

Pada kebiasaannya, bazar-bazar Ramadan akan memulakan persiapan di segenap ceruk.

Para penjual bersedia dengan pelbagai menu dan resipi bagi menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

Namun Ramadan ini, para ibu dan keluarga akan berusaha keras menghasilkan masakan sendiri untuk dinikmati seisi keluarga bagi berbuka puasa.

Pada kebiasaannya, iklan raya, tempahan tiket balik kampung dan cuti-cuti kakitangan pejabat mungkin sudah selesai diatur seawal masuknya bulan Ramadan.

Namun Ramadan ini, fokus adalah lebih kepada keluarga kita sendiri dengan batasannya adalah kepada sesiapa yang berada sebumbung dan serumah semata-mata.

Banyak lumrah yang dilakukan dalam Ramadan sebelum ini tidak akan dilakukan pada Ramadan kali ini.

Namun, berlandaskan hadis-hadis berkenaan Ramadan, banyak lagi yang boleh kita lakukan dalam menggandakan ganjaran serta pahala di sebalik kengkangan dan keterbatasan yang kita miliki ini.

Fokus kepada keluarga bakal mengikatkan lagi keutuhan institusi kekeluargaan serta kasih sayang sesama kita andai sebelum ini ia sukar untuk dilakukan.*

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus