Individu tular ekori remaja diberkas kes curi motosikal

SUNGAI BULOH – Individu yang tular sebelum ini susulan dakwaan mengekori seorang remaja perempuan di Kampung Melayu Subang, di sini, diberkas polis selepas dipercayai terbabit dalam kes kecurian motosikal.
Suspek, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 22 tahun, ditahan di Jalan Pluto, Shah Alam pada pukul 1.35 tengah hari Ahad.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung kehilangan sebuah motosikal yang dilaporkan pada 3 Oktober lalu.
“Hasil pengesahan identiti mendapati suspek yang ditahan merupakan individu sama yang tular di Facebook berhubung dakwaan mengekori seorang remaja perempuan di Kampung Melayu Subang.
“Bagaimanapun, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan suspek mengekori remaja perempuan atau membawa senjata tajam seperti yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa seorang remaja perempuan telah diekori oleh seorang lelaki ketika berada di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya menggesa mangsa atau mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan lanjut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau serta 10 rekod berkaitan kesalahan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

