PKP: 952 pasangan di Kedah dibenar bernikah

Mukhriz (kiri) menerima replika cek sebagai gimik penerimaan sumbangan keperluan barangan harian untuk Covid-19 sempena sambutan bulan Ramadan daripada Gabungan Kontraktor Kutipan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam Utara.
Mukhriz (kiri) menerima replika cek sebagai gimik penerimaan sumbangan keperluan barangan harian untuk Covid-19 sempena sambutan bulan Ramadan daripada Gabungan Kontraktor Kutipan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam Utara.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 952 pasangan di negeri Kedah yang memohon untuk melangsungkan pernikahan dibenarkan berbuat demikian di pejabat agama daerah masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) memperuntukkan lima hari dalam seminggu bagi memberi ruang kepada pejabat agama daerah menguruskan pernikahan secara konvensional.

Katanya, pasangan terbabit perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu untuk mendapatkan giliran hari dan waktu bagi mengelak berlaku kesesakan atau pertindihan.

"Majlis pernikahan ini hanya dihadkan kepada pasangan pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali sahaja manakala tiga orang saksi pula akan disediakan oleh pejabat agama daerah," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Khas Covid-19 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, pernikahan ini hanya dibenarkan kepada pasangan yang telah diluluskan permohonan mereka sebelum ini dan tiada permohonan baharu dibenarkan setakat ini.

"Bagi pernikahan yang melibatkan dua negeri, kita sedang berusaha supaya ia boleh dilaksanakan secara sidang video.

"Kita akan mengambil contoh bagaimana negeri lain laksanakannya dan Insya-ALLAH, Kedah juga akan menurut jejak langkah berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, sehingga semalam sebanyak 12,000 pek makanan telah diedarkan kepada rakyat melalui Tabung Bantuan Covid-19 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mukhriz turut menerima sumbangan keperluan barangan harian untuk Covid-19 sempena sambutan bulan Ramadan daripada Gabungan Kontraktor Kutipan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam Utara bernilai RM20,500.