Pendedahan media senjata perangi penyeludupan migran - Penganalisis

Zaki Salleh
Zaki Salleh
A
A
A

SHAH ALAM – Laporan media berasaskan fakta, pendedahan modus operandi sindiket dan penerangan mengenai saluran aduan merupakan antara peranan penting media dalam membantu membanteras penyeludupan migran dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, peranan media itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Whole of Nation yang menuntut kerjasama seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya bergantung kepada kerajaan dan agensi penguat kuasa.

Menurutnya, media bukan sekadar melaporkan kejadian, malah berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai taktik sindiket, risiko penyeludupan migran serta kepentingan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Laporan media yang berasaskan fakta, pendedahan modus operandi sindiket dan penerangan mengenai saluran aduan boleh membantu masyarakat memahami ancaman berkenaan, selain menggalakkan mereka menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Media bukan sekadar melaporkan kejadian, tetapi turut membantu mendidik masyarakat supaya lebih peka, memahami tanggungjawab masing-masing dan tidak menjadi sebahagian daripada rantaian kegiatan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Zaki berkata, pendekatan Whole of Nation penting kerana kegiatan penyeludupan migran melibatkan rangkaian yang kompleks, termasuk ejen, pengangkutan, lokasi transit dan pihak yang menyediakan tempat perlindungan kepada migran sebelum mereka dibawa ke destinasi ditetapkan.

Katanya, pendedahan mengenai taktik sindiket melalui laporan media dapat membantu masyarakat mengenal pasti kegiatan mencurigakan, sekali gus memahami bahawa usaha membanteras jenayah berkenaan memerlukan penglibatan semua pihak.

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Isnin melaporkan sindiket penyeludupan migran semakin licik mengubah strategi dengan menggunakan laluan transit berlapis, dokumen imigresen palsu serta pengangkutan merentas sempadan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Isnin melaporkan sindiket penyeludupan migran semakin licik mengubah strategi dengan menggunakan laluan transit berlapis, dokumen imigresen palsu serta pengangkutan merentas sempadan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Laporan eksklusif Sinar Harian pada Isnin melaporkan sindiket penyeludupan migran semakin licik mengubah strategi dengan menggunakan laluan transit berlapis, dokumen imigresen palsu serta pengangkutan merentas sempadan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan bahawa sindiket menggunakan beberapa negara sebagai lokasi transit sebelum migran dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan darat atau perairan.

Laporan berkenaan turut mendedahkan penggunaan rumah selamat, pengangkutan dan rangkaian ejen bagi menyembunyikan pergerakan migran daripada dikesan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Zaki berkata, masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko seperti pesisir pantai, sempadan negara dan kawasan perumahan bandar juga boleh membantu dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

"Maklumat mengenai pergerakan bot pada waktu malam, penempatan warga asing yang mencurigakan atau kegiatan pengangkutan migran secara berkelompok boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti rangkaian sindiket lebih awal.

"Rakyat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, jika terdapat aktiviti mencurigakan, salurkan maklumat melalui saluran rasmi dan jangan mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Whole of Nation turut melibatkan sektor swasta dan majikan, khususnya dalam memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan mengikut saluran sah serta tidak membuka ruang kepada sindiket mengambil kesempatan terhadap permintaan tenaga kerja.

"Pengambilan pekerja tanpa dokumentasi sah dan penggunaan ejen tidak berlesen boleh meningkatkan risiko eksploitasi pekerja migran, termasuk pemerdagangan orang dan buruh paksa.

"Jika majikan hanya mengambil pekerja melalui saluran yang sah dan memastikan dokumen mereka lengkap, ruang untuk sindiket mengeksploitasi migran dapat dikurangkan," katanya.

Tambahnya, kerjasama antara agensi penguat kuasa juga perlu dipertingkatkan melalui perkongsian maklumat dan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran dari peringkat kemasukan sehingga kepada rangkaian pengangkutan dan penempatan.

"Tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya tertumpu kepada migran semata-mata, sebaliknya turut merangkumi individu yang membantu atau bersekongkol dengan sindiket, termasuk pihak yang menyalahgunakan kedudukan untuk membocorkan maklumat operasi.

"Jika ada pihak dalam rantaian penguatkuasaan yang melindungi sindiket, perkara itu juga perlu disiasat dan diambil tindakan. Integriti penguatkuasaan penting bagi memastikan operasi yang dijalankan benar-benar berkesan," katanya.

Ujarnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan juga mempunyai peranan dalam membantu mengenal pasti serta melindungi mangsa pemerdagangan orang yang mungkin diperdaya sindiket melalui tawaran pekerjaan atau laluan migrasi tidak sah.

"Pendekatan Whole of Nation perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan penguatkuasaan, kesedaran masyarakat, tanggungjawab majikan dan penyebaran maklumat yang tepat.

"Kerjasama sedemikian penting bagi memastikan usaha membanteras penyeludupan migran bukan sahaja tertumpu kepada tindakan selepas jenayah berlaku, malah membantu masyarakat mengenal pasti risiko dan menyalurkan maklumat lebih awal kepada pihak berkuasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!