Berita negatif pasaran minyak menjejaskan ringgit: penganalisis

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT meneruskan aliran menurun untuk ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kebanjiran berita negatif mengenai pasaran minyak, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.3880/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3770 yang dicatatkan semalam.

Ketua Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, ringgit, yang didagangkan pada hujung jajaran, berita-berita kurang merangsangkan mengenai pasaran minyak semasa akan terus menekan ringgit.

"Terdapat cabaran yang besar bagi penghantaran kontrak terdekat memandangkan saya fikir kos menyimpan minyak pada Mei akan melebihi nilai ekonomi minyak pada Jun kecuali terdapat campur tangan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan G20," katanya kepada Bernama.

Pasaran minyak mentah menjadi tidak menentu selepas niaga hadapan minyak mentah AS menjunam ke bawah AS$0 untuk kali pertama dalam sejarah.

Sekarang ini, penanda aras Brent susut sebanyak 18.15 peratus kepada AS$20.93 setong daripada sesi sebelumnya.

Malaysia, sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, amat bergantung kepada pergerakan harga komoditi tersebut.

Selain itu, menurut Innes, dolar AS turut mula mengukuh di Asia, ini biasanya menjadi tanda buruk kepada aliran masuk pasaran ekuiti tempatan, mencadangkan kemungkinan ringgit terus dihimpit sepanjang minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding dengan mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen kepada 4.0841/0918 daripada 4.0587/0663 tetapi meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0676/0734 daripada 3.0751/0811.

Berbanding pound, ringgit menokok kepada 5.4122/4226 daripada 5.4524/4616 yang direkodkan semalam dan berbanding euro, ia bertambah kepada 4.7526/7620 daripada 4.7550/7644.- Bernama