Lelaki tembak jiran gara-gara lirik lagu

Seorang lelaki menembak jirannya menggunakan senapang angin di Sumatera Utara pada 3 Oktober lepas. Gambar hiasan
Seorang lelaki menembak jirannya menggunakan senapang angin di Sumatera Utara pada 3 Oktober lepas. Gambar hiasan
A
A
A

SUMATERA UTARA - Gara-gara perselisihan faham mengenai lirik lagu, seorang lelaki menembak jirannya menggunakan senapang angin dalam kejadian di Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara, Indonesia pada 3 Oktober lalu.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku di Dusun Sagala Dolok, Nagori Marihat Raja, Kecamatan Dolok Panribuan, ketika mangsa, DRS, dan suspek, JA, 42, sedang minum tuak bersama beberapa individu lain.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kanit Reskrim) Polsek Dolok Panribuan, Ipda Sugeng Suratman berkata, perselisihan bermula apabila mangsa menyanyikan lagu bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, suspek beranggapan lirik lagu yang dinyanyikan mangsa tidak sopan sebelum bertanyakan maksud lirik berkenaan.

"Perselisihan itu menyebabkan kedua-duanya bertengkar sebelum berlaku pergaduhan.

"Bagaimanapun, pergaduhan pertama di lokasi majlis berjaya dileraikan oleh orang ramai yang hadir,” katanya pada Ahad.

Menurutnya, pertelingkahan itu berlanjutan ketika kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing sebelum sekali lagi dileraikan rakan mereka.

Sugeng berkata, keadaan kembali tegang apabila mangsa datang ke rumah suspek sambil mengetuk pintu dengan kuat dan mencabarnya untuk bergaduh.

Tambahnya, suspek yang semakin berang kemudian mengambil senapang angin miliknya lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga mengenai dada.

Artikel Berkaitan:

“JA mengakui tidak membidik dengan teliti dan hanya menembak ke arah DRS,” ujarnya.

Selepas kejadian, suspek melarikan diri ke kampung halaman ibu bapanya tanpa memeriksa keadaan mangsa.

Mangsa kemudian dibawa penduduk ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Tiga Runggu untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Daerah Djasamen Saragih di Pematangsiantar berikutan kecederaan serius.

Isteri mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya sebelum pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menahan suspek di kediamannya pada malam 8 Oktober lalu.

Polis turut merampas senapang angin yang digunakan dalam kejadian itu.

"JA mengakui melakukan penganiayaan dengan menembak mangsa. Dia juga mengakui bertindak sendirian tanpa melibatkan pihak lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!