Warga India ingin ke Malaysia tahun depan perlu mohon visa mulai 1 Disember ini - JIM

Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warganegara India yang ingin ke Malaysia tahun depan perlu membuat permohonan visa di portal MyVISA mulai 1 Disember ini susulan kemudahan pengecualian visa tidak lagi diberikan mulai 1 Januari 2027.

Jabatan Imigresen dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu memaklumkan semua fi pemprosesan visa yang telah dibayar tidak akan dikembalikan tanpa mengira keputusan permohonan, perubahan dasar atau sebarang perubahan seterusnya terhadap rancangan perjalanan.

"Jabatan Imigresen berhak untuk meminda syarat-syarat kemasukan ini pada bila-bila masa selaras dengan arahan kerajaan Malaysia.

"Warganegara India yang memasuki Malaysia mulai tarikh tersebut diwajibkan mendapatkan visa yang sah sebelum ketibaan mereka," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengecualian visa kepada warganegara India bagi tempoh keberadaan 30 hari di Malaysia untuk tujuan lawatan sosial jangka pendek akan ditamatkan pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, penamatan inisiatif itu, yang dilaksanakan di bawah Pelan Liberalisasi Visa, bertujuan mengukuhkan saringan praketibaan dan memastikan kawalan kemasukan yang lebih teratur bagi warga asing ke negara ini. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!