Kontroversi istilah 'lighad': PKR desak BN nyatakan pendirian

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) digesa menyatakan pendirian secara terbuka berhubung kandungan media sosial yang dikaitkan dengan pempengaruh, Lim Sian See atau Eric See-To yang didakwa mempersenda istilah bahasa Arab daripada al-Quran ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2027.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, agama dan kitab suci tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran politik, meskipun perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi.
Menurutnya, kritikan terhadap belanjawan seharusnya disampaikan menggunakan hujah dan fakta, bukannya dengan memperlekehkan istilah atau pegangan agama pihak lain.
"Agama dan kitab suci bukan bahan untuk dijadikan sindiran politik," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata, sekiranya kandungan yang tersebar itu dibuat seperti yang didakwa, tindakan berkenaan bukan sahaja tidak sensitif, malah menunjukkan kegagalan menghormati kepercayaan orang lain.
Bryan Ng turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, khususnya dalam kalangan individu berpengaruh yang mempunyai keupayaan membentuk wacana awam melalui media sosial.
Dalam pada itu, beliau berpandangan siasatan terhadap perkara berkenaan perlu dilaksanakan secara profesional dengan memastikan setiap tindakan berdasarkan bukti dan undang-undang.
"Malaysia ialah negara hukum. Kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang boleh berkata apa sahaja tanpa mengambil kira undang-undang dan kesannya terhadap masyarakat.
"Pada masa yang sama, semua pihak berhak mendapat proses yang adil," katanya.
Bryan Ng turut membangkitkan laporan bahawa Lim Sian See pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN.
Justeru, beliau menggesa gabungan itu menjelaskan sama ada kandungan yang dikaitkan dengan bekas pegawai komunikasinya selari dengan nilai dan standard politik yang diperjuangkan.
"Saya mempersoalkan sama ada BN bersedia menyatakan secara terbuka bahawa perbuatan memperlekehkan agama tidak boleh diterima, tanpa mengira individu yang melakukannya atau pihak yang menjadi sasaran politik," katanya.
Menurutnya, pendirian terhadap isu sensitiviti agama tidak seharusnya berubah mengikut kepentingan politik atau identiti individu terbabit.
"Jangan bersikap dwistandard dalam soal menghormati agama. Jika kita menuntut orang lain menghormati kepercayaan kita, kita sendiri mesti menunjukkan penghormatan yang sama terhadap kepercayaan orang lain.
"Perpaduan tidak akan terpelihara jika agama terus dijadikan senjata politik," katanya.
Sementara itu, Bryan Ng menegaskan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
"Perkara 10(1)(a) pula menjamin hak warganegara terhadap kebebasan bercakap dan bersuara, tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.
"Justeru, sebarang dakwaan berkaitan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama perlu diteliti berdasarkan fakta dan bukti sebelum sebarang kesimpulan atau tindakan undang-undang diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

