Akmal perlu fahami makroekonomi sebelum persoal kenaikan gaji - Wanita PKR

Ker Chean mengingatkan Akmal supaya memahami asas makroekonomi susulan kebimbangan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM2,000.
Ker Chean mengingatkan Akmal supaya memahami asas makroekonomi susulan kebimbangan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM2,000.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh diingatkan supaya memahami asas makroekonomi terlebih dahulu sebelum mempersoalkan pihak yang menanggung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, persoalan dibangkitkan Dr Muhammad Akmal itu wajar dijawab, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan usaha meningkatkan pendapatan pekerja di Malaysia.

Menurutnya, kenaikan gaji minimum berkenaan memberi manfaat langsung kepada golongan B40 yang bekerja dan menerima bayaran asas.

“Kepada Akmal, kalau kemaruk sangat mahu kembali jadi abang besar dalam kerajaan, fahami dahulu asas-asas Makroekonomi 101,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dr Muhammad Akmal pada Sabtu dilaporkan melahirkan kebimbangan susulan pengumuman kenaikan gaji minimum pekerja daripada RM1,700 kepada RM2,000 boleh mengakibatkan harga barang dan perkhidmatan meningkat sekiranya majikan memindahkan kos tambahan pembayaran gaji kepada pengguna.

Katanya, walaupun lebih 4 juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan itu, kerajaan tetap perlu mengambil kira kesannya terhadap jutaan pekerja lain yang tidak termasuk dalam pelaksanaan tersebut.

Menurut beliau, keadaan itu boleh menyebabkan golongan yang tidak menerima kenaikan gaji turut menanggung peningkatan kos sara hidup jika harga barang meningkat.

Ker Chean menjelaskan, tambahan RM300 sebulan amat bermakna bagi pekerja berpendapatan rendah untuk menampung perbelanjaan dapur, pengangkutan, bil utiliti dan keperluan anak-anak ketika kos sara hidup terus menekan.

Ujarnya, semua pihak tidak wajar terlalu tertumpu kepada kemungkinan pertambahan kos majikan sehingga mengabaikan kebajikan pekerja berpendapatan rendah yang perlu menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Gaji minimum bukan jaminan bahawa setiap pekerja akan terus hidup selesa, tetapi ia merupakan lantai perlindungan pendapatan supaya pekerja tidak terus terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah,” katanya.

Beliau menambah, kebimbangan majikan memindahkan kos kepada pengguna perlu ditangani melalui penguatkuasaan pencatutan, pemantauan harga dan sokongan bersasar kepada perusahaan terkesan.

Katanya lagi, Belanjawan 2027 memberikan ruang penyesuaian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan bawah RM50 juta.

“Justeru, perincian pelaksanaan pengecualian tersebut perlu dipantau bagi memelihara kepentingan kedua-dua pihak.

“Kenaikan gaji minimum juga perlu disertai dasar peningkatan produktiviti, latihan kemahiran, persaingan adil dan penerbitan data berkala kerajaan untuk membina ekonomi kukuh tanpa bergantung kepada upah rendah,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!