Hakim Danish raih dua mata di Mandalika

Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Indonesia di tempat ke-14.
Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Indonesia di tempat ke-14.
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Indonesia di tempat ke-14 selepas bermula dari petak ke-26 atau paling belakang di Litar Antarabangsa Mandalika sebentar tadi.

Meskipun berdepan tugas sukar, Hakim Danish mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya memintas seorang demi seorang pelumba lain sehingga melonjak ke kedudukan ke-10 pada satu ketika.

Bagaimanapun, pelumba berusia 19 tahun itu gagal mengekalkan kedudukan berkenaan sebelum insiden pada pusingan terakhir menyaksikan dia dikenakan penalti tambahan tiga saat susulan pertembungan dengan pelumba Australia, Joel Kelso.

Penalti itu menyebabkan kedudukan Hakim Danish merosot daripada tempat ke-10 kepada ke-14 dalam keputusan rasmi perlumbaan.

Pelumba negara itu menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 26.059 saat (s) di belakang pemenang, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team.

Kutipan dua mata di Mandalika menyaksikan Hakim Danish mengumpul keseluruhan 107 mata, namun kedudukannya dalam carta kejuaraan merosot dua anak tangga berbanding minggu lalu.

Sementara itu, Quiles mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 32 minit 36.821s untuk meraih 25 mata, sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan dengan 351 mata.

Pelumba Sepanyol itu menamatkan perlumbaan di depan David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang ketinggalan 2.994s untuk menduduki tempat kedua.

Almansa, yang muncul juara GP Jepun minggu lalu, gagal mengulangi kejayaan itu apabila terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara kali ini.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo melengkapkan podium di tempat ketiga selepas menamatkan perlumbaan dengan perbezaan 5.156s di belakang Quiles.

Selepas mengharungi cabaran di Indonesia, Hakim Danish bakal mengalihkan tumpuan kepada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, dengan peluang beraksi di laman sendiri menjadi motivasi untuk memburu keputusan lebih baik di hadapan penyokong tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!