9 maut termasuk kanak-kanak dalam tembakan rambang

ERIE – Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk kanak-kanak maut dalam insiden tembakan rambang di sebuah kediaman di Erie, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).
Kejadian pada Jumaat itu turut mengorbankan suspek yang dipercayai melepaskan tembakan di dalam dan luar rumah berkenaan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan tembakan yang dilakukannya sendiri.
Ketua Polis Erie, Rick Lorah berkata, insiden itu antara kejadian paling sukar dan menyayat hati yang pernah dihadapi oleh anggota polis serta penyiasat.
“Ini adalah antara kejadian paling sukar dan menyayat hati pernah dihadapi oleh pegawai dan penyiasat kami,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, tujuh daripada mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek, manakala seorang lagi merupakan rakan kepada seorang mangsa wanita yang sedang hamil.
Siasatan awal mendapati, suspek melepaskan tembakan di dalam kediaman sebelum dua wanita tiba di lokasi dan mengetuk pintu rumah berkenaan dalam keadaan cemas.
Suspek kemudian keluar dan menembak kedua-dua wanita itu ketika mereka cuba menghampirinya sebelum kembali masuk ke dalam rumah.
Anggota polis menemukan dua wanita berkenaan maut di luar rumah, manakala mayat beberapa mangsa lain ditemukan di dalam kediaman itu selepas pihak berkuasa menggunakan dron dan robot untuk memeriksa keadaan di lokasi.
Antara mangsa yang ditemukan ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.
Pihak berkuasa sedang meneliti bukti bagi mengenal pasti punca yang mendorong kejadian tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

