Lesen sampan khas: Kerajaan digesa utamakan nelayan sepenuh masa

ALOR SETAR - Kerajaan digesa mengutamakan nelayan pantai sepenuh masa yang menjadikan laut sebagai sumber pendapatan utama, termasuk mereka yang menunggu sehingga 20 tahun untuk mendapatkan lesen sampan khas.
Setiausaha Agung Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Azrul Faizal Mohamed berkata, penambahan jumlah lesen sampan khas yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada Jumaat perlu dilaksanakan secara telus dan adil supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Menurutnya, terdapat nelayan yang sudah berulang kali mengemukakan permohonan bertahun-tahun namun masih belum memperoleh lesen berkenaan.
“Kalau ikutkan, ramai lagi nelayan yang betul-betul bergantung kepada laut ini masih tidak dapat lesen
“Ada yang sudah lima hingga enam kali ditemu duga, tetapi masih tidak mendapat lesen. Ada juga nelayan yang telah menjadi nelayan sepenuh masa yang menunggu sehingga 20 tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 berkata, geran turut disediakan untuk pelaksanaan projek akuakultur bagi meningkatkan pendapatan nelayan termasuk membekalkan sistem bioflok bagi ternakan tilapia.
Azrul Faizal berkata, ketiadaan lesen sah menimbulkan kesukaran kepada nelayan yang mahu meneruskan pekerjaan mereka secara sah kerana boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan penguatkuasaan ketika turun ke laut.
Menurutnya, terdapat kes di Selangor, Melaka dan Johor membabitkan nelayan yang didakwa kerana tidak memiliki lesen meskipun mereka bergantung kepada kegiatan menangkap ikan sebagai mata pencarian.
"Ada antara nelayan terbabit menggunakan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan, namun masih berdepan tindakan kerana tidak mempunyai lesen sah," ujarnya.
Sehubungan itu, Azrul Faizal berkata, Jaring mencadangkan satu kaedah dapat diwujudkan supaya nelayan yang benar-benar bekerja di laut tidak terus berdepan masalah ketika menunggu lesen.
Dalam pada itu, katanya, jumlah sebenar nelayan yang masih menunggu lesen juga perlu dikenal pasti bagi membolehkan kerajaan merancang pengagihan secara lebih berkesan.
"Proses permohonan ketika ini banyak bergantung kepada data yang dikemukakan oleh persatuan nelayan kawasan, justeru penyelarasan maklumat oleh pihak berkuasa penting bagi memastikan tiada pemohon yang layak tercicir," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

