JKM bantu keluarga Busrah

Keratan akhbar Sinar Harian hari ini.
Keratan akhbar Sinar Harian hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kehidupan daif pasangan Busrah Mohd Said dan suaminya, Rosli Japar bersama empat anak serta seorang cucu di Kampung Melayu Majidee, di sini mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru.

Kisah kehidupan sukar tujuh sekeluarga yang terpaksa tebal muka meminta beras dan barang dapur jiran terdekat disiarkan Sinar Harian, hari ini mendapat banyak perhatian daripada semua pihak.

Menurut kenyataan JKM Johor Bahru, pegawainya sudah melakukan siasatan terhadap keadaan ekonomi keluarga Busrah.

"Hasil siasatan JKM mendapati suami Busrah merupakan seorang warga Indonesia dan dalam proses memohon pemastautin tetap Malaysia.

"Penama telah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai enam orang anak yang mana tiga daripadanya merupakan hasil perkahwinan pertama manakala tiga orang lagi merupakan hasil perkahwinan terkini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebal muka minta beras, barang dapur

JKM berkata, suami Busrah bekerja sebagai buruh kasar dan kini pendapatan terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan selain upah dibayar secara gaji harian.

Jelasnya, hasil semakan di Sistem E-bantuan JKM menunjukkan bahawa sebelum ini Busrah pernah menerima Bantuan Am di Tawau, Sabah namun telah ditamatkan pada Disember 2013.

"Pihak kami telah menghubungi Penyelaras JKM Pusat untuk memindahkan kes ke Daerah Johor Bahru dan mencadangkan untuk disyorkan Bantuan Kanak-kanak sebanyak RM400 sebulan mulai Jun 2020 hingga Mei 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Busrah ketika dihubungi Sinar Harian melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada pihak JKM dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan meringankan beban mereka sekeluarga.

"Syukur banyak sumbangan kami terima terutamanya bantuan makanan asas daripada pelbagai pihak dan mencukupi untuk keperluan sekeluarga sehingga Syawal nanti," katanya.