Belanjawan 2027 pacu pelaburan ekonomi baharu - Sime Darby Property

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad menyambut baik Belanjawan 2027 yang diumumkan kerajaan, khususnya langkah strategik untuk merangsang pelaburan domestik, memperluaskan pemilikan rumah dan mempercepatkan agenda pembangunan mampan negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, syarikat itu mengalu-alukan usaha kerajaan menggerakkan dana RM25 bilion menerusi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di bawah program GEAR-UP.
Menurut beliau, Sime Darby Property turut menghargai pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Dana Modal Teroka Ekonomi Baharu bernilai RM1.25 bilion yang ditubuhkan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Dana ini menyokong strategi kami untuk membangunkan aset pusat data dan logistik bernilai tinggi di City of Elmina, sekali gus mengukuhkan infrastruktur digital dan perindustrian Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 turut memperkenalkan pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan akses pemilikan rumah, termasuk cadangan pengecualian duti setem kepada pembeli rumah pertama.
Di bawah cadangan itu, pembeli rumah pertama akan menikmati pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik untuk rumah berharga sehingga RM500,000.
Bagi rumah berharga sehingga RM750,000 pula, pengecualian penuh diberikan ke atas RM500,000 pertama manakala baki nilai akan menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus.
Selain itu, penyediaan jaminan pembiayaan perumahan berjumlah RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Azmir berkata, pemberian elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus kepada syarikat yang melaksanakan projek teknologi hijau dan mampan, termasuk stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), mampu mempercepatkan penggunaan infrastruktur hijau di negara ini.
“Insentif ini akan memperkukuh usaha kami mengintegrasikan penyelesaian mampan, cekap tenaga dan kemudahan EV di kawasan perbandaran serta pembangunan komersial yang kami majukan,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen kerajaan memperuntukkan pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memperkukuhkan rangkaian grid elektrik negara.
Pada masa sama, peruntukan RM100 juta untuk mitigasi banjir di Lembah Klang dan hampir RM320 juta bagi menaik taraf cerun serta sistem perparitan di seluruh negara dilihat sebagai langkah penting meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Sime Darby Property juga menyambut baik pengenalan semula klausa Variation of Price (VOP) bagi menangani turun naik kos diesel dan bitumen yang disifatkan sebagai langkah pragmatik untuk melindungi margin kontraktor serta menjamin kestabilan sektor pembinaan.
“Belanjawan 2027 merupakan pelan fiskal yang seimbang dan berpandangan jauh. Sime Darby Property kekal komited bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan keutamaan nasional, memacu pertumbuhan mampan serta mencipta nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
