Belanjawan 2027: Kerajaan tanggung penuh caruman PERKESO 40,000 imam, bilal dan guru takmir

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Tabung Haji (TH) akan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 penggerak institusi Islam di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelum ini.
"Bagi memelihara keilmuan turath, kerajaan Madani menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa, termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi.
"Kita turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menjamin kemampanan institusi pondok," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Anwar memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara.
“Program Dakwah Kreatif juga diperkenalkan bagi menghasilkan kandungan dakwah yang segar, sahih dan dekat dengan generasi muda menerusi media digital, pempengaruh dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, kerajaan turut menyediakan insentif khas RM150 sebulan kepada 500 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk menggunakan bahasa isyarat dan al-Quran Braille.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

