Belanjawan 2027: Bantuan pesawah RM2.62 bilion, insentif penuaian naik RM100 sehektar

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan bantuan berjumlah RM2.62 bilion kepada pesawah bagi membantu menampung kos pengeluaran padi, dengan nilai sokongan dianggarkan sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu merangkumi beberapa bentuk sokongan termasuk subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan harga padi.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju menaikkan kadar Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim.
“Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam masa sama, Menteri Kewangan itu berkata, kadar Insentif Pembajakan yang telah dinaikkan kepada RM300 dikekalkan, selain diperluas kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.
"Bagi memulihkan serta meningkatkan kesuburan tanah sawah, kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk membekalkan baja foliar kepada pesawah yang mengusahakan lebih 10,000 hektar tanah sawah padi," jelas beliau.
Langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan membantu pesawah menangani kos pengeluaran, meningkatkan produktiviti serta menyokong pengeluaran padi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

