Belanjawan 2027: Gaji minimum naik RM2,000 mulai Jun 2027

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. - Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, melibatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu merupakan antara langkah kerajaan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.

Menurutnya, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus.

“Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 ringgit. Kadar ini berkuat kuasa mulai Jun 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027. - Imej janaan AI
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027. - Imej janaan AI

Anwar berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja, namun mengakui kadar gaji minimum sahaja tidak mencukupi untuk memastikan pekerja menerima upah setimpal dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.

Anwar berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.

Beliau turut menyeru semua majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah berkenaan bagi memastikan pekerja menerima gaji yang lebih wajar, selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan keperluan meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!