Samun warga emas, lelaki dipenjara 13 tahun

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang warga emas ketika melakukan samun pada April 2023.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang warga emas ketika melakukan samun pada April 2023.
A
A
A

MELAKA - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang warga emas ketika melakukan samun pada April 2023.

Hakim Datuk D. Suria Kumar menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 27, selepas mengambil kira fakta kes dan faktor mitigasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Beliau turut menegur tindakan tertuduh yang meninggalkan Tan Kue Seng, 71, dalam keadaan nazak di dalam longkang di tepi Jalan Gapam, Melaka Tengah pada 9 April 2023 tanpa mendapatkan bantuan kecemasan.

"Perbuatan kamu itu tidak berperikemanusiaan. Saya harap kamu insaf dan cari kerja yang halal untuk bantu keluarga. Mahkamah memandang serius kesalahan meragut dan merompak sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian mangsa,” katanya.

Hakim turut mempersoalkan tindakan tertuduh yang tidak menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan bagi mangsa.

"Bayangkan kamu yang menunggang motosikal, tiba-tiba ditendang. Apa rasanya? Sudah tidak berdaya, dalam hujan, malam dan kesejukan. Tertuduh kedua pun, kemungkinan besar ada telefon... tapi tak telefon untuk panggil ambulans,” katanya.

Beliau berkata tendangan kuat tertuduh menggunakan kaki kirinya ke arah motosikal mangsa seolah-olah menjadikan anggota badan itu sebagai senjata untuk mencederakan mangsa sebelum kematiannya.

Sementara itu, rakan Muhammad Faris Amjad, Noorbaizura Mohd Fuad, 37, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh yang bertindak dengan niat bersama menendang motosikal yang ditunggang mangsa selepas melihat warga emas itu bersendirian.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum menjunam ke dalam longkang batu.

Muhammad Faris Amjad kemudian mengambil beg pinggang mangsa dan meninggalkannya dalam keadaan nazak sebelum menggunakan kad bank milik mangsa untuk membuat pembelian.

Mayat ditemukan oleh anaknya pada 11 April 2023 dalam keadaan membengkak dan berbau busuk di dalam longkang berkenaan.

Muhammad Faris Amjad didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan [Akta 574], dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod, manakala Tiu Leong Kim mewakili Muhammad Faris Amjad dan Mak Kah Keong mewakili Noorbaizura.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara Muhammad Faris Amjad bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu 11 Jun 2023. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!