Bomba Johor derma darah untuk pesakit Covid-19

Yahaya Madis menderma darah dalam Program Bomba Prihatin Masyarakat Sihat untuk tabung darah HSI di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor Bahru di sini hari ini.
Yahaya Madis menderma darah dalam Program Bomba Prihatin Masyarakat Sihat untuk tabung darah HSI di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor Bahru di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesibukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melakukan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di 33 lokasi seluruh negeri hari ini tidak menghalang mereka untuk menganjurkan Program Bomba Prihatin Masyarakat Sihat (Derma Darah).

Program tersebut diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin di sini hari ini bertujuan membantu tabung darah di Hospital Sultan Ismail (HSI) yang kini merawat pesakit-pesakit pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis, seramai 50 pegawai JBPM Johor meliputi pegawai di ibu pejabat, balai-balai di bawah Zon 1 dan Zon 2 terlibat menderma darah dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang.

"Program ini anjuran JBPM Johor dengan kerjasama HSI bagi membantu hospital berkenaan yang banyak menempatkan pesakit-pesakit Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM Johor terus melaksanakan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di semua daerah dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya SWCorp, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Yahaya berkata, operasi itu melibatkan enam lokasi di daerah ini iaitu Wisma Persekutuan, Klinik Desa Sungai Tiram, Medini Mall, Taman Kota Masai, Pejabat Pos dan Klinik Kesihatan Kangkar Pulai serta Pejabat Sekolah Mahmad Sinaran Baru.

Selain itu katanya, proses tersebut turut dilakukan di Pontian melibatkan Masjid Kampung Pengkalan Raja, Masjid Sungai Kuali dan Masjid Sungai Durian serta tiga buah bank di bandar berkenaan.

Sinar Harian difahamkan secara keseluruhan operasi itu sudah dilaksanakan di 1,015 lokasi bermula 27 Mac sehingga semalam.

Artikel Berkaitan: