Pengakap Pasir Mas hasilkan 14,000 pelindung muka

Pelindung muka yang dihasilkan oleh pengakap bagi kegunaan kakitangan hospital bagi menentang Covid-19.
Pelindung muka yang dihasilkan oleh pengakap bagi kegunaan kakitangan hospital bagi menentang Covid-19.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM14,000 pelindung muka dihasilkan oleh pasukan Pengakap Kelana B Blackflurry (PKBB) Pasir Mas bagi kegunaan barisan hadapan di kawasan Pantai Timur dalam mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Penolong Pesuruhjayanya, Nor Azlin Mat Nor berkata, kerja-kerja sukarelawan menghasilkan pelindung muka terbabit dilakukan oleh 10 anggota pengakap yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga berusia 26 tahun.

Katanya, inisiatif itu dimulakan dengan modal sumbangan peribadi daripada ahli sebelum menerima sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai sokongan terhadap usaha murni yang dilakukan itu.

“Kerja menghasilkan pelindung muka buatan sendiri (DIY) ini bermula pada 25 Mac lalu dan dihasilkan dengan menggunakan plastik, span dan tali dengan kos RM2.50 seunit.

“Sebanyak 500 hingga 800 pelindung muka dapat dihasilkan setiap hari dan akan diagihkan ke klinik-klinik serta hospital di seluruh Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,044 pelindung muka kepada Jabatan Farmasi negeri Kelantan di Pengkalan Chepa hari ini.

Nor Azlin (kanan) menyampaikan sumbangan 1,044 pelindung muka kepada Azizah bagi kegunaan hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri ini.
Nor Azlin (kanan) menyampaikan sumbangan 1,044 pelindung muka kepada Azizah bagi kegunaan hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri ini.

Katanya, pasukan itu menyasarkan keseluruhan pelindung muka sebanyak 20,000 unit bagi memastikan bekalan tersebut mencukupi sepanjang tempoh negara berdepan ancaman Covid-19.

“Sejumlah 6,000 unit akan disiapkan dalam tempoh terdekat dan berharap negara akan segera daripada pulih daripada serangan wabak ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi) Jabatan Kesihatan Kelantan, Azizah Mahmud Muhaidin berkata, bahagian itu yang menjadi pusat pengumpulan dan pengagihan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada orang perseorangan dan NGO selain turut menghasilkannya sendiri.

Katanya, bekalan PPE di Kelantan mencukupi kerana ramai pihak bertungkus-lumus menyalurkan sumbangan dan bersama dengan barisan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Seramai 64 kakitangan secara sukarela menjahit pelindung muka, penutup kepala dan pelindung kasut dengan menggunakan mesin jahit yang dibawa dari rumah masing-masing.

“Setakat ini sebanyak 539 penutup kepala, 417 pasang pelindung kaki dan 5,400 pelindung muka berjaya dihasilkan. Kami juga berhasrat untuk agihkan ke lokasi luar Kelantan sekiranya terdapat permintaan,” katanya.