Ahmad Zahid, AG dibenar rayu keputusan semakan kehakiman Badan Peguam

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara (AG) dibenarkan untuk merayu keputusan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis.

Ia membabitkan permohonan mencabar keputusan menghentikan pendakwaan dalam 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk berusia 73 tahun itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan dua permohonan kebenaran merayu selepas mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Hashim berkata, persoalan berkenaan memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, ambang itu perlu diterapkan dengan lebih berhati-hati dan penuh batasan kerana ia membabitkan kuasa pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145(3).

“Kami berpandangan, kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah ini.

"Oleh itu, Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku pemohon telah memenuhi ambang bagi permohonan kebenaran di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman," katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Dalam prosiding berkenaan, Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Peguam, Datuk S Ambiga dan Steven Thiru hadir bagi pihak Badan Peguam sementara peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah kini Hakim Mahkamah Persekutuan memberi perintah DNAA kepada Presiden UMNO berhubung kes berkenaan.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk, kerana mereka memutuskan untuk memberhentikan prosiding, ekoran berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Badan Peguam kemudiannya memohon untuk mencabar keputusan tersebut dengan memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan berkenaan terbatal serta tidak sah.

Mengikut pertuduhan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tersebut berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!