Kanak-kanak maut, lapan cedera bangunan empat tingkat runtuh


NEW DELHI – Seorang kanak-kanak maut manakala lapan lagi cedera selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh di kawasan Seemapuri, timur laut Delhi, India pada Rabu.
Mangsa berusia kira-kira setahun enam bulan itu ditemukan pasukan penyelamat di bawah runtuhan dengan kecederaan parah sehingga kepalanya terputus.
Menurut pihak berkuasa, lapan mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, berjaya dikeluarkan dari runtuhan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan berhampiran Idgah Machhli Mandi, Seemapuri.
Menurut pihak berkuasa perbandaran, bangunan berkenaan berusia antara 20 hingga 25 tahun dan diduduki ketika kejadian.
Runtuhan turut menyebabkan sebahagian struktur dua bangunan berhampiran dan dinding sebuah masjid mengalami kerosakan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa bangunan berkenaan mengalami keretakan selepas gegaran yang dirasai di Delhi-NCR susulan gempa bumi di Uttarakhand pada malam Selasa.
Pihak berkuasa berkata dakwaan itu masih perlu disahkan menerusi siasatan.
Insiden itu berlaku kira-kira sebulan selepas tragedi runtuhan bangunan di Satya Niketan, Delhi, pada 6 September lalu yang mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan 12 yang lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

