PDRM kesan trend terkini pengedaran dadah

Ramli Din - Foto Bernama
Ramli Din - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa trend terkini pengedaran dadah membabitkan warga tempatan dan warga asing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, antara trend yang dikenal pasti adalah menerusi perkhidmatan penghantaran barangan.

Bagaimanapun katanya, tidak semua individu yang berkhidmat dalam penghantaran barangan terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

"Ada individu yang melaporkan kepada polis mengenai bungkusan mencurigakan yang mengandungi dadah.

"Kita juga mendapati ada warga asing yang mengedar dadah secara kecil-kecilan untuk rakan senegara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, sebelum PKP pihaknya telah bertemu dengan wakil syarikat penghantaran barangan untuk mendapatkan kerjasama dalam mencegah kegiatan jenayah itu.

"Kita memuji tindakan mereka yang bekerjasama dengan polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah ini," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac sehingga 16 April, pihaknya berjaya menangkap 3,923 individu di seluruh negara termasuk 208 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: