Guru kaunseling perlu bertindak awal, sedia modul pencegahan tangani kesihatan mental pelajar - Anuar

SHAH ALAM - Guru kaunseling atau ahli psikologi kanak-kanak perlu bertindak awal dengan mempunyai modul- modul pencegahan sebelum berlakunya sesuatu kes yang melibatkan keselamatan dan disiplin pelajar.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana trend yang berlaku sekarang bukan soal keselamatan fizikal seperti gangguan daripada orang luar di sekolah, keracunan makanan atau bangunan runtuh tetapi ia adalah isu kesihatan mental.
Menurutnya, sedangkan sistem kaunselor dan amalan yang sekian lama digunakan di negara ini adalah memberi kaunseling setelah berlaku sesuatu perkara.
"Dalam masa sama, perkara asas yang perlu dilakukan adalah meningkatkan hubungan baik antara pihak sekolah dan ibu bapa. Kemudian baru bincang isu-isu yang lain misalnya pencapaian anak-anak dan isu kesihatan mental.
"Ini tidak kalau mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu kadang-kadang saya hadir sebab dijemput, kalau makan bihun maksudnya tahun depan pula lah baru jumpa.
"Jadi ia tidak menunjukkan kesungguhan, ibu bapa hantar anak pergi sekolah dan serahkan sepenuhnya pada sekolah. Itu pada saya bukan sifat pendidikan yang sebenar," ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar Edisi ke-490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panel ialah Profesor Ekonomi UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pencipta Kandungan Ekonomi, Faiz Ahmad manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut Anuar berkata, setiap sekolah yang ibu bapa memberi penekanan dan diajak bersama dalam pasukan untuk membangunkan pendidikan akan menjadi sekolah yang baik.
"Oleh itu, semua pihak kena ambil tanggungjawab mengenai kesihatan mental pelajar kerana cabarannya jauh lebih besar daripada keselamatan fizikal," jelasnya.
Beliau turut berpendapat, murid sekolah rendah tidak terlalu memerlukan pembelajaran menggunakan teknologi.
"Tahap ini mereka belajar asas pendidikan seperti membaca, menulis, berkomunikasi dan sebagainya. Sekolah menengah mungkinlah mereka memerlukan teknologi, maklumat dan sebagainya.
"Saya ucap terima kasih pada Kementerian Pendidikan, banyak isu-isu kesihatan dan keselamatan fizikal mereka dah ambil maklum. Ada sekolah sudah dipasang kamera litar tertutup (CCTV), sistem kawalan keluar masuk sekolah dan kantin di audit.
"Itu tiada masalah sebab sudah dijaga namun isu dan cabaran kita pada hari ini adalah isu kesihatan mental," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

