Kontroversi LCS: DAP terus heret nama Ahmad Zahid – Fadzmel

Kenyataan Fadzmel menerusi Facebook pada Rabu.
Kenyataan Fadzmel menerusi Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang cuba mengaitkan perkembangan terkini Projek Littoral Combat Ship (LCS) dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan cubaan menghidupkan semula naratif lama dengan mencampur-adukkan keputusan dan perkembangan projek yang berlaku dalam tempoh lebih sedekad.

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, sedangkan projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran, beberapa Menteri Pertahanan, proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang dan akhirnya penstrukturan semula oleh kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha tersusun DAP untuk terus mengheret nama Ahmad Zahid ke dalam isu yang telah melalui pelbagai proses, pentadbiran dan keputusan selepas beliau meninggalkan portfolio Menteri Pertahanan.

"Hakikatnya, perkembangan yang dibangkitkan hari ini berlaku bertahun-tahun kemudian, namun nama beliau terus dipetik semula semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.

"Pada peringkat awal, nama Ahmad Zahid memang cuba dikaitkan dengan projek LCS berdasarkan dokumen dan keputusan awal ketika beliau menerajui Kementerian Pertahanan.

"Namun, kewujudan catatan atau arahan pada peringkat tersebut tidak bermaksud keseluruhan projek telah diluluskan atau segala keputusan selepas itu dibuat oleh beliau," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Guan Eng dalam kenyataan mengingatkan kembali kepada kontroversi perolehan LCS ketika Ahmad Zahid menjadi Menteri Pertahanan, termasuk nota tangan “Sila dilaksanakan” yang ditulis pada surat berkaitan projek berkenaan.

Tambah Fadzmel, perkara lebih penting apabila penelitian yang lebih mendalam dibuat melalui Pengauditan Forensik LCS oleh Alliance IFA, yang laporannya dikemukakan pada Julai 2020.

Jelasnya, fokus dapatan adalah terhadap aspek tadbir urus, proses perolehan, pembayaran, pengurusan projek dan tindakan pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada sedikit pun dapatan dalam audit forensik tersebut yang meletakkan Ahmad Zahid sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap salah laku kewangan atau kegagalan pelaksanaan projek, walaupun laporan itu dikemukakan pada tahun sama pentadbiran Pakatan Harapan 1.0.

"Maksudnya, apabila projek ini diteliti bukan sekadar pada surface value tetapi melalui audit forensik yang lebih mendalam, persoalan yang timbul bukan lagi mengenai campur tangan politik tetapi lebih kepada kelemahan tadbir urus, pengurusan kontrak dan pelaksanaan projek itu sendiri.

"Jadi sekiranya benar segala kelemahan kewangan dan pelaksanaan projek ini berpunca daripada arahan peribadi Ahmad Zahid, sudah tentu perkara itu akan menjadi dapatan jelas dalam audit forensik, siasatan dan proses akauntabiliti yang dijalankan selepas itu.

"Sebaliknya, daripada tahun 2020 sehingga hari ini tiada satu pun dapatan tersebut yang secara langsung mengaitkan Ahmad Zahid malah, tindakan perundangan pernah diambil terhadap individu yang dikatakan mempunyai tanggungjawab langsung dalam pengurusan projek," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!