Laporan DAP ke atas Ahmad Zahid: SPRM wajar siasat menyeluruh, teliti peranan pihak terlibat - AMK

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar meneliti laporan yang dibuat DAP kepada suruhanjaya itu bagi memohon siasatan dakwaan melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian itu.
Pengarah Strategi AMK, Mohd Shafiq Iqram Abdullah berkata, siasatan berkenaan perlu dilaksanakan secara bebas dan menyeluruh, termasuk meneliti peranan mana-mana pihak yang mempunyai kuasa melulus, mengarah atau membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan tersebut.
“Tetapi saya tak fikir kita patut terus meletakkan kesalahan kepada Ahmad Zahid atau mana-mana individu sebelum siasatan menentukan fakta.
“Fokus kita patut jelas. Kalau ada unsur kesalahan, siapa pun yang terlibat perlu bertanggungjawab. Kalau tiada kesalahan, siasatan itu sendiri akan menjelaskan kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa menjalankan siasatan terhadap peranan Ahmad Zahid berhubung perbezaan perbelanjaan RM2.1 bilion bagi Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Turut hadir membuat laporan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, apa yang penting, jangan jadikan kedudukan politik sebagai sebab seseorang dikecualikan daripada penelitian dan jangan juga laporan politik sebagai bukti seseorang itu bersalah.
Dalam kes ini katanya, Kementerian Kewangan (MoF) sudah mengemukakan angka dan menjelaskan bahawa wujud komitmen serta perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan.
Jadi, katanya, SPRM patut melihat dokumen, kronologi kelulusan dan proses komitmen tersebut dan angka RM2.1 bilion yang kini menjadi pertikaian itu perlu dilihat berdasarkan fakta, bukan permainan persepsi.
“Jadi jangan alihkan persoalan ini kepada MoF. MoF sudah memberikan angka dan penjelasan. Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana komitmen tersebut berlaku.
“Bila komitmen dibuat? Bila kelulusan kewangan diperoleh? Adakah terdapat pelarasan atau penyusunan semula peruntukan? Dan apakah proses yang digunakan sebelum komitmen kepada projek dan kontraktor dibuat?” soalnya.
Tegasnya, jangan juga jadikan MoF sebagai kambing hitam untuk menutup persoalan yang sebenarnya perlu dijawab di peringkat pengurusan komitmen projek.
Pada masa yang sama ujarnya, ia tidak boleh membuat kesimpulan bahawa perbezaan angka tersebut secara automatik bermaksud berlaku rasuah atau salah guna kuasa kerana ia perlu ditentukan berdasarkan dokumen, audit dan siasatan yang sewajarnya.
“Tetapi satu perkara jelas, perbelanjaan wang awam perlu mempunyai asas kelulusan yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Tunjukkan dokumen. Tunjukkan kelulusan. Tunjukkan kronologi. Rakyat berhak tahu bagaimana wang awam dikeluarkan dan dibelanjakan,” jelasnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

