'Dua bulan, dua emas'

KEJAYAAN Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih emas di Sukan Komanwel Glasgow Julai lalu dan Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam tempoh kira-kira dua bulan mencipta satu pencapaian luar biasa buat jaguh berbasikal trek negara itu.
Lebih istimewa, pelumba berusia 38 tahun itu mendapati hanya empat atlet Malaysia sebelum ini pernah meraih emas di kedua-dua temasya berkenaan dalam tahun yang sama.
Mereka ialah Datuk Ng Boon Bee, Datuk Punch Gunalan, gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David.
Azizulhasni berkata, pencapaian itu mempunyai nilai tersendiri kerana bukan mudah untuk seseorang atlet mengekalkan prestasi di tahap tertinggi apabila dua temasya besar berlangsung dalam jarak masa yang begitu dekat.
“Saya melihat pencapaian ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi bagi dua kejohanan besar yang jaraknya hanya kira-kira 60 hari," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurutnya, pengurusan periodisasi latihan menjadi antara cabaran terbesar selepas kejayaan di Glasgow bagi memastikan prestasi dapat dikekalkan sehingga Sukan Asia.
“Antara perkara paling mencabar ialah bagaimana untuk mengekalkan tahap prestasi selepas kejayaan di Glasgow dan pada masa sama memastikan badan bersedia untuk kembali ke tahap kemuncak di Sukan Asia,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu bagaimanapun tidak akan terhasil tanpa perancangan rapi, disiplin serta kerja keras sepanjang tempoh persiapan.
“Saya sentiasa bersikap optimis dan terus bekerja keras untuk memastikan semua matlamat yang ditetapkan dapat dicapai demi merealisasikan emas untuk negara,” katanya.
Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kemampuan Azizulhasni menentang faktor usia apabila masih mampu bersaing dan menewaskan pelumba yang jauh lebih muda di pentas tertinggi.
Bagi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, pencapaian berkenaan bukan sekadar menambah koleksi pingat, sebaliknya menjadi bukti bahawa perancangan, disiplin dan kepercayaan terhadap kemampuan diri mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Azizulhasni akan meneruskan misi di Shanghai bagi menghadapi Kejohanan Dunia selepas melalui musim yang sekali lagi membuktikan dirinya masih mampu berada dalam kelompok terbaik dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
