Kontrak pertahanan mesti beri nilai tambah kepada industri tempatan - Khaled Nordin

Mohamed Khaled diberikan penerangan ketika mengadakan lawatan kerja ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd pada Rabu.
Mohamed Khaled diberikan penerangan ketika mengadakan lawatan kerja ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd pada Rabu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kementerian Pertahanan mahu setiap kontrak perolehan aset yang diberikan kepada syarikat pertahanan memberi nilai tambah kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat yang menerima kontrak kementerian bukan sekadar bertanggungjawab memastikan aset dibekalkan mengikut tempoh ditetapkan, malah perlu membantu membangunkan keupayaan industri tempatan.

"Jadi, ia tidak berhenti dengan kalau dulu kita bagi kontrak, itu sahaja, kita tunggu bila kenderaan sampai. Tetapi hari ini, bila kita bagi kontrak, kita nak lihat semua nilai-nilai tambah ini dapat dijayakan.

"Kerana ia penting untuk industri pertahanan tempatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide Sdn Bhd, di sini pada Rabu.

Mohamed Khaled berkata, antara nilai tambah yang diberi perhatian ialah pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta penghasilan komponen tempatan.

Menurutnya, High Point Worldwide ketika ini mempunyai kira-kira 15 peratus tenaga kerja terdiri daripada veteran ATM.

"Kita akan lihat juga kepada mana-mana syarikat lain yang mendapat kontrak daripada kementerian supaya mereka ambil tanggungjawab untuk memberi dan menyediakan peluang kerja kepada veteran-veteran Angkatan Tentera.

"Itu menjadi satu perkara yang memang akan menjadi perkara tumpuan oleh pihak kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kementerian turut mengalu-alukan usaha syarikat berkenaan membangunkan casis tempatan bagi kenderaan darat jenis A dan B.

Katanya, casis menyumbang kira-kira 30 peratus komponen sesebuah kenderaan darat dan penghasilannya secara tempatan mampu membantu mengurangkan kos selain mengukuhkan keupayaan industri pertahanan negara.

"Sekurang-kurangnya 30 peratus setiap aset yang kita beli itu mestilah terdiri daripada 30 peratus komponen tempatan.

"Dalam kenderaan darat, casis sebenarnya bersamaan dengan 30 peratus komponen dalam sesebuah kenderaan darat," katanya.

Mohamed Khaled berkata, dua bentuk casis tempatan berkenaan dijangka siap masing-masing pada April dan Oktober sebelum diuji bagi menentukan pematuhan terhadap spesifikasi ditetapkan.

Menurutnya, jika diluluskan, casis terbabit berpotensi menjadi asas kepada kenderaan lain pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau berkata syarikat pertahanan tempatan perlu membangunkan rangkaian vendor tempatan bagi membekalkan komponen seperti lampu, tayar dan skru.

"Selain daripada pemasangan, ia kena kenal pasti vendor-vendor, syarikat-syarikat pembekal yang mungkin membuat lampu, tayar, skru dan sebagainya.

"Jadi, ini juga merupakan perkara yang kita berikan perhatian dan pada masa sama kita galakkan syarikat untuk fikirkan," katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga perlu menjurus kepada kemampuan syarikat tempatan untuk mengeksport produk atau komponen pertahanan serta menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

"Kita nak lihat bagaimana ia boleh memposisikan kedudukannya untuk mengeksport apa-apa yang boleh digunakan oleh mana-mana OEM yang membuat kenderaan darat ataupun menjadi sebahagian daripada global supply chain bagi mana-mana syarikat," katanya.

Mohamed Khaled berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan usaha kementerian membangunkan industri pertahanan tempatan secara lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada perolehan aset dari luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!