Caj platform e-dagang perlu dikaji, bantu usahawan tempatan kekal berdaya saing

GEORGE TOWN – Kerajaan disaran mengkaji semula struktur caj dan komisen yang dikenakan platform e-dagang serta perkhidmatan penghantaran makanan bagi memastikan usahawan tempatan tidak terus terhimpit dengan margin keuntungan yang semakin mengecil.
Usahawan tempatan, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, persaingan harga yang terlalu agresif menerusi platform dalam talian menyebabkan sebahagian peniaga terpaksa menjual pada harga rendah sehingga keuntungan menjadi terlalu kecil dan tidak mampan.
Menurutnya, isu berkenaan wajar diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih seimbang antara platform, peniaga dan pengguna.
“Struktur caj yang dikenakan platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok Shop wajar dikaji semula, khususnya membabitkan komisen, perkhidmatan, transaksi, promosi dan kos berkaitan yang semakin memberi tekanan kepada margin peniaga.
“Kita mahu ekosistem e-dagang yang lebih sihat iaitu platform terus berkembang, pengguna mendapat harga yang baik tetapi peniaga juga masih mempunyai margin munasabah untuk meneruskan perniagaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mohamed Rizwan yang juga pengasas TeaKadai serta penyelaras kumpulan usahawan tempatan, BSJ (Buat Sampai Jadi) berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap kemasukan produk dari luar negara yang dijual secara terus kepada pengguna Malaysia menerusi platform dalam talian.
Katanya, keadaan itu memberi tekanan kepada peniaga tempatan yang perlu menanggung kos mengimport barang, menyimpan stok, membayar sewa premis, menggaji pekerja dan membayar cukai.
“Apabila produk sama boleh dijual terus dari luar negara kepada pengguna Malaysia pada harga jauh lebih rendah, peniaga tempatan semakin sukar untuk bersaing dan ada yang akhirnya terpaksa menutup perniagaan.
“Kerajaan wajar memantau dan mengawal selia perkara ini dengan lebih berkesan, termasuk memastikan peraturan, cukai dan standard perdagangan yang munasabah dikenakan secara adil kepada penjual tempatan dan luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah berkenaan bukan bertujuan menghalang perdagangan antarabangsa, sebaliknya memastikan persaingan yang sihat dan adil supaya ekosistem perniagaan tempatan terus berkembang.
Dalam masa sama, Mohamed Rizwan berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan lebih besar kepada kelangsungan dan pertumbuhan usahawan tempatan sedia ada dalam Belanjawan 2027, bukan hanya membantu mereka memulakan perniagaan.
Menurutnya, sokongan berterusan penting bagi memastikan perniagaan yang telah dibangunkan mampu bertahan, berkembang dan terus menyumbang kepada ekonomi negara untuk tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang.
“Kerajaan perlu melihat kepada aspek kemampanan usahawan tempatan terutama perniagaan yang sudah beroperasi dan mempunyai potensi untuk berkembang.
“Bukan hanya membantu usahawan untuk bermula, tetapi membantu mereka bertahan, berkembang dan membina perniagaan untuk 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, usahawan bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya turut menyediakan peluang pekerjaan, membayar cukai, menggerakkan ekonomi setempat dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Menurutnya, tekanan kenaikan harga bahan mentah turut perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan secara langsung terhadap kos operasi dan harga yang ditanggung pengguna.
Katanya, kerajaan boleh memperkukuh mekanisme pemantauan rantaian bekalan selain mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan tekanan kos yang ditanggung peniaga dan pengguna.
“Dalam masa sama, struktur caj dan komisen yang dikenakan platform penghantaran makanan seperti GrabFood dan FoodPanda juga wajar dikaji semula kerana bagi sesetengah perniagaan kecil, caj yang tinggi boleh mengecilkan margin keuntungan dengan ketara.
“Kita memerlukan ekosistem yang lebih seimbang antara platform, peniaga dan pengguna supaya perniagaan kecil terus berdaya tahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan memberikan pelepasan atau potongan cukai tambahan kepada syarikat dan usahawan yang menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada badan bukan kerajaan berdaftar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sekolah, institusi pendidikan dan madrasah.
Menurutnya, insentif seumpama itu juga boleh diperluaskan kepada program pembangunan belia, biasiswa, bantuan pendidikan dan program kebajikan masyarakat.
“Ini dapat mewujudkan satu ekosistem yang mana kejayaan sesebuah perniagaan turut menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat,” katanya.
Mohamed Rizwan berkata, tumpuan terhadap kelangsungan usahawan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang kerana perniagaan tempatan yang kukuh akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
“Belanjawan 2027 bukan hanya tentang berapa banyak bantuan yang diberikan kepada usahawan tetapi bagaimana kita membina ekosistem yang membolehkan usahawan tempatan terus hidup, berkembang, mencipta pekerjaan, membayar cukai dan menyumbang kembali kepada negara.
“Usahawan yang kukuh akan melahirkan perniagaan yang kukuh, lebih banyak pekerjaan, ekonomi yang lebih kukuh dan masyarakat yang lebih sejahtera.
“Itulah ekonomi yang kita mahu bina untuk Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

