Gaji minimum RM2,000: Kenaikan perlu ambil kira produktiviti, keupayaan majikan

MEF berpandangan, peningkatan gaji minimum turut menambah keseluruhan kos menggajikan seseorang pekerja yang boleh membebankan majikan. - Foto: Bernama
MEF berpandangan, peningkatan gaji minimum turut menambah keseluruhan kos menggajikan seseorang pekerja yang boleh membebankan majikan. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Pelaksanaan kenaikan gaji minimum RM2,000 perlu diteliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti, daya saing perniagaan, kos operasi dan keupayaan majikan mengekalkan pekerjaan.

Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya mengiktiraf kepentingan meningkatkan pendapatan pekerja dan menyokong pertumbuhan gaji yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat sebagai kenaikan gaji asas semata-mata kerana peningkatan pendapatan turut menambah keseluruhan kos menggaji seseorang pekerja yang boleh membebankan majikan.

"MEF menyokong peningkatan gaji, cuma kenaikannya mestilah mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan kemampuan perniagaan menyerap kos tambahan.

“Matlamatnya mestilah untuk mencapai gaji lebih baik tanpa melemahkan perniagaan yang menyediakan pekerjaan itu sendiri.

"Kenaikan kepada RM1,900 mewakili peningkatan kira-kira 11.8 peratus, RM2,000 pula 17.6 peratus. Justeru, perkara ini mesti diteliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti semasa dan keadaan perniagaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Syed Hussain berpendapat bahawa Malaysia perlu bergerak secara berfasa ke arah sistem penggajian berkait rapat produktiviti dan pertumbuhan gaji mampan yang disokong oleh peningkatan kemahiran, teknologi serta inovasi.

Ini kerana menurutnya, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja meningkat 5.5 peratus pada suku kedua 2026 iaitu mencecah RM46.50 sejam.

“Malaysia tidak seharusnya memisahkan gaji daripada produktiviti. Jika kita mahukan gaji yang lebih tinggi, produktiviti mestilah ditingkatkan juga.

Artikel Berkaitan:

“Produktiviti yang lebih tinggi membolehkan perniagaan membayar gaji lebih baik sambil kekal berdaya saing. Inilah laluan mampan bagi Malaysia bergerak ke arah pekerjaan berpendapatan lebih tinggi,” ujar beliau.

MEF turut berpandangan peralihan kepada kitaran kajian semula gaji minimum setiap dua tahun menyediakan kerangka yang lebih mudah untuk majikan, berbanding melaksanakan kenaikan yang kerap dan mendadak.

“Pendekatan berperingkat dan boleh dijangka bagi kajian semula gaji setiap dua tahun adalah lebih munasabah dan memberi masa kepada majikan untuk merancang, menyesuaikan model perniagaan, melabur dalam produktiviti serta meningkatkan keupayaan membayar gaji lebih tinggi.

“Apa yang diperlukan oleh perniagaan ialah kebolehramalan, bukannya kejutan kos secara tiba-tiba,” katanya.

Atas dasar itu, pihaknya menggesa kerajaan supaya mengambil kira beberapa perkara sebelum menuntaskan kenaikan gaji minimum baharu RM2,000.

Antaranya, produktiviti buruh dan pertumbuhan produktiviti, jumlah sebenar kos pekerjaan melangkaui gaji asas, keupayaan kewangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor yang mempunyai margin keuntungan kecil serta kesan terhadap peluang pekerjaan peringkat permulaan.

Selain itu, jelasnya, kebarangkalian impak terhadap kos dan daya saing perniagaan, perbezaan tahap produktiviti dan keupayaan membayar mengikut sektor serta wilayah.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira keperluan mekanisme semakan gaji yang boleh dijangka dan dilaksanakan secara berperingkat serta inisiatif untuk menyokong majikan melabur dalam teknologi, kemahiran serta peningkatan produktiviti.

“Pendirian MEF jelas, MEF bukan menentang kenaikan gaji. MEF menentang kenaikan gaji yang tidak berkait dengan produktiviti dan keupayaan ekonomi perniagaan untuk mengekalkannya.

“MEF mahu pekerja memperoleh pendapatan lebih tinggi tetapi pada masa sama kita juga memerlukan perniagaan kekal berdaya maju, terus mengambil pekerja dan mewujudkan peluang untuk pekerja berkembang,” katanya.

Syed Hussain berkata, ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar sejauh mana gaji minimum boleh dinaikkan.

“Sebaliknya, ia harus diukur berdasarkan sejauh mana kita mampu meningkatkan pendapatan pekerja sambil meningkatkan produktiviti, memperkukuh perniagaan Malaysia dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!