Lukisan disangka 'murah' rupa-rupanya bernilai RM5.52 juta

NEW YORK – Bermodalkan hanya AS$30 (RM122), seorang pembeli tidak menyangka lukisan itu akhirnya bernilai lebih 45,000 kali ganda daripada harga asal selepas ia dijual AS$1.35 juta (RM5.52 juta) ketika sesi lelongan.
Lukisan Alderman Merriam’s Shells itu merupakan karya pelukis surealis terkenal dari Chicago, Gertrude Abercrombie yang dihasilkan pada 1951 sebelum beliau meninggal dunia pada 1977.
Karya seni tersebut ditemui di sebuah jualan harta pusaka di Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu oleh individu berkenaan yang ketika itu sedang mencari barangan vintaj.
Pembeli itu tertarik selepas melihat tandatangan 'Abercrombie, 51' pada lukisan itu sebelum membelinya. Pemeriksaan lanjut kemudiannya mengesahkan karya tersebut adalah hasil tangan Abercrombie yang terkenal dengan penggunaan simbol seperti bulan, kucing, pintu dan landskap misteri.
Lebih menarik, lukisan itu dipercayai tidak pernah dipamerkan kepada umum selama hampir 75 tahun.
Ia mempunyai kisah tersendiri apabila Abercrombie dipercayai pernah memberikannya kepada seorang doktor di Michigan sebagai bayaran untuk mendapatkan rawatan perubatan. Selepas doktor tersebut meninggal dunia, karya berkenaan diwarisi keluarganya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

