COOP OKB, Solartech Sales & Services jalin kerjasama strategik

KOPERASI Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Solartech Sales & Services Sdn. Bhd. sebagai langkah strategik memperluaskan penglibatan koperasi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui khususnya penyelesaian tenaga solar.
Majlis menandatangani MoU pada Isnin diwakili oleh Pengerusi COOP OKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Solartech Sales & Services Sdn. Bhd, Roy Chok.
Turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan COOP OKB, Ahmed Tarmize Mohd Yusoff Tuan Padang.
Menurut Ahmed Tarmize, kerjasama yang dijalinkan bersama Solartech Sales & Services Sdn Bhd bertujuan memperluaskan lagi jaringan perniagaan yang lebih menfokuskan bahagian pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kita bukan sahaja tertumpu kepada pemasangan kawasan industri malah projek ini juga merangkumi pemasangan di kawasan kediaman-kediaman individu dan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, dengan terjalinnya kerjasama antara COOP OKB dan Solartech Sales & Services Sdn Bhd, secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, belia dan graduan yang menganggur.
Selain itu, COOP OKB turut membuka peluang pekerjaan kepada individu yang berpotensi untuk menjadi ejen pemasaran produk-produk solar.
Pada masa sama, COOP OKB berhasrat menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi mengukuhkan dan memperluaskan lagi pemasaran perniagaan ini.
Sementara itu, Solartech Sales & Services Sdn. Bhd. komited untuk berkongsi kepakaran teknikal serta menyediakan penyelesaian tenaga solar yang berkualiti bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memenuhi keperluan pelanggan dan standard industri.
COOP OKB yakin kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada kedua-dua organisasi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
