Pendapatan tinggi tidak menjamin hidup bebas tekanan kewangan

RAMAI beranggapan jawatan tinggi dan gaji besar adalah tiket kepada kehidupan yang bebas daripada masalah kewangan. Namun realitinya tidak semudah itu apabila komitmen bulanan, tanggungan keluarga dan kos sara hidup yang semakin meningkat terus memberi tekanan kepada sebahagian warga kerja.
Walaupun hadir ke pejabat dengan penampilan kemas, menjalankan tugas seperti biasa dan memegang jawatan penting, tidak semua pekerja berada dalam keadaan kewangan yang selesa. Di sebalik imej profesional yang dipamerkan, ada yang masih berkira-kira sama ada wang yang ada mampu bertahan sehingga tiba tarikh gaji berikutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Amden Capital, Ranjit Singh berkata, kesejahteraan kewangan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pendapatan semata-mata kerana tekanan kewangan boleh berlaku pada pelbagai peringkat pendapatan.
“Apabila seseorang datang bekerja, kebimbangan kewangannya tidak berhenti di pintu pejabat. Ia boleh mempengaruhi tumpuan, pertimbangan dan keupayaannya untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Berbekalkan pengalaman selama 36 tahun dalam bidang perbankan, pembiayaan, penilaian kredit dan pembiayaan penjagaan kesihatan, Ranjit telah meneliti puluhan ribu permohonan pembiayaan, penyata bank, laporan kredit serta rekod pembayaran balik.
Daripada pemerhatian tersebut, beliau mendapati tekanan kewangan bukan hanya dihadapi golongan berpendapatan rendah, malah turut menjejaskan profesional serta pegawai kanan yang memegang jawatan penting dalam organisasi.
Menurutnya, pendapatan yang tinggi tidak semestinya memberikan ketahanan kewangan yang lebih baik.
“Sepanjang pengalaman saya, ada individu berpendapatan RM6,000 yang mampu mengekalkan aliran tunai yang teratur, manakala ada profesional berpendapatan RM20,000 yang masih berdepan tekanan kewangan. Apa yang penting ialah jumlah wang yang masih berbaki selepas semua komitmen dan perbelanjaan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan mengenai kesejahteraan kewangan perlu melihat gambaran yang lebih menyeluruh, termasuk kos sara hidup, tanggungan keluarga dan cara seseorang menguruskan wang.
Tambahnya, banyak program kesejahteraan kewangan di tempat kerja memberi tumpuan kepada pelaburan, insurans, perancangan persaraan dan pembinaan kekayaan. Namun, pendekatan itu mungkin kurang berkesan sekiranya peserta masih bergelut mengurus aliran tunai bulanan.
“Jika seseorang belum mempunyai lebihan wang pada akhir bulan, perbincangan mengenai pelaburan mungkin belum memenuhi keperluan yang paling mendesak. Langkah pertama ialah membantu mereka memahami aliran tunai dan mencari jalan untuk mewujudkan lebihan tersebut,” ujarnya.
Menurut Ranjit, ramai mengetahui jumlah pendapatan yang diterima setiap bulan, namun tidak semua benar-benar memahami ke mana wang tersebut dibelanjakan.
“Ramai orang tahu berapa gaji mereka. Tetapi tidak semua tahu dengan jelas ke mana wang itu pergi atau berapa cepat ia habis selepas diterima,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penyata bank sering mendedahkan komitmen berulang, langganan yang masih dibayar, pembelian kecil yang kerap dilakukan serta perubahan gaya hidup yang berlaku secara beransur-ansur. Walaupun setiap perbelanjaan itu kelihatan kecil secara berasingan, kesannya terhadap baki wang bulanan boleh menjadi besar apabila dikumpulkan.
Pada masa sama, Ranjit berpandangan majikan mempunyai peranan penting dalam membantu meningkatkan literasi kewangan pekerja. Walaupun syarikat tidak perlu menyelesaikan semua masalah kewangan warga kerja, mereka boleh menyediakan ilmu, panduan dan ruang yang membolehkan pekerja membuat keputusan kewangan dengan lebih bijak.
“Pendapatan tetap penting. Namun, untuk memahami ketahanan kewangan seseorang, kita juga perlu melihat berapa banyak wang yang masih berbaki selepas memenuhi komitmen dan sejauh mana mereka mampu menghadapi perbelanjaan yang tidak dijangka,” katanya.
Beliau percaya organisasi yang mahu meningkatkan kesejahteraan pekerja perlu bermula dengan membantu mereka memahami ke mana wang pergi, membina lebihan bulanan dan mengurus aliran tunai dengan lebih baik sebelum berbicara mengenai pelaburan serta pembinaan kekayaan jangka panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
