Thailand tawar lawatan percuma kepada penumpang transit

Projek itu menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan Bangkok sebagai hab penerbangan bagi penumpang transit dan kargo udara. - Foto Agensi
Projek itu menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan Bangkok sebagai hab penerbangan bagi penumpang transit dan kargo udara. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK – Thailand mahu melancarkan pakej pelancongan khas untuk penumpang antarabangsa yang mempunyai tempoh transit panjang bagi membolehkan mereka melakukan lawatan singkat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.

Skim perintis itu dijangka bermula pada awal 2027 di empat lapangan terbang utama iaitu Suvarnabhumi, Don Mueang, Phuket dan Krabi dengan pakej memberi tumpuan kepada budaya, makanan tempatan, kesihatan dan kesejahteraan diri.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, Kementerian Pengangkutan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan enam organisasi bagi menghubungkan keupayaan pengangkutan dan penerbangan negara itu dengan sektor pelancongan serta perkhidmatan.

Enam rakan kerjasama berkenaan ialah Jabatan Lapangan Terbang, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), Thai Airways International, Persatuan Syarikat Penerbangan Thailand, Suvarnabhumi Airport Hotel dan Fakulti Kejuruteraan Universiti Kasetsart.

Menerusi inisiatif itu, penumpang antarabangsa dengan tempoh transit antara enam hingga lapan jam berpeluang menyertai lawatan singkat ke bandar atau tarikan berhampiran sebelum kembali bagi menaiki penerbangan seterusnya.

Jelasnya, projek itu menyokong matlamat kerajaan untuk menjadikan Bangkok sebagai hab penerbangan bagi penumpang transit dan kargo udara. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!