LKAN: Kos projek Sungai Golok lonjak RM601.2 juta, PETRA perjelas punca

PLSB Sungai Golok ynag sedang dijalankan.
PLSB Sungai Golok ynag sedang dijalankan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan peningkatan drastik kos Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan daripada RM198.02 juta kepada RM601.20 juta adalah berpunca daripada penyesuaian skop berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan semasa.

Kementerian menerusi kenyataan memaklumkan, peningkatan nilai kontrak projek tersebut antara lain melibatkan penaiktarafan Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) mengikut piawaian Jalan Persekutuan, pembinaan jambatan, struktur alur limpah, serta penyelarasan reka bentuk rumah pam.

Tegas kementerian itu, penyesuaian skop dan reka bentuk tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur memenuhi keperluan fungsi, keselamatan dan ketahanan jangka panjang, termasuk mengambil kira risiko cuaca ekstrem dan perubahan iklim.

"Pelaksanaan projek turut dipengaruhi oleh kekangan teknikal di tapak, termasuk pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan penyelarasan lukisan pembinaan.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan penduduk, harta benda dan infrastruktur awam di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir terus dilindungi," jelas kenyataan tersebut pada Selasa.

Terdahulu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bil. 2/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan lonjakan drastik dari segi kos projek PLSB Sungai Golok.

Jabatan Audit Negara (JAN) membangkitkan persoalan terhadap peningkatan nilai kontrak keseluruhan projek berkenaan yang melambung lebih tiga kali ganda, iaitu daripada nilai asal RM198.02 juta kepada RM601.20 juta.

Peningkatan kos yang signifikan ini dikesan berpunca daripada kelemahan peringkat perancangan awal yang memaksa perubahan besar pada skop kerja, seperti membabitkan pembinaan struktur alur limpah tambahan, pembinaan jambatan baharu, serta keperluan menaik taraf Jalan KESBAN mengikut spesifikasi yang lebih tinggi di pertengahan fasa projek.

Sementara itu, susulan penemuan LKAN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil tindakan susulan yang tegas dalam aspek pengurusan perunding projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Satu aduan rasmi telah dikemukakan kepada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), selain langkah memperkemas pengurusan perkhidmatan perunding dan terma kontrak dilakukan bagi meningkatkan kejelasan tanggungjawab serta akauntabiliti.

Menurut kenyataan itu lagi, PETRA dan JPS menerima dapatan LKAN sebagai mekanisme semakan penting bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, sekali gus memastikan projek Kerajaan dilaksana secara telus dan berkesan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!