Pelancong China maut selepas selam snorkel di Semporna

Mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan namun tiada tindak balas. Foto hiasan
Mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan namun tiada tindak balas. Foto hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Polis mengesahkan seorang pelancong wanita warga China maut selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti selam snorkel bersama ahli keluarganya di perairan Pulau Pom Pom di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun dari Yunnan mengadu tidak selesa sebelum meminta untuk menaiki bot.

"Ketika berada di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna.

"Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia selain mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak 10 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan pengusaha pelancongan dinasihatkan agar mengutamakan aspek keselamatan.

Hiap Wah turut meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat menerusi talian 013-212 0852 bagi membantu siasatan. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!