Waktu solat Subuh di Kelantan ditambah empat minit

Takwim imsakiah bagi zon 1 dan 2
Takwim imsakiah bagi zon 1 dan 2
A
A
A

KOTA BHARU - Waktu bermula solat Subuh di Kelantan perlu ditambah empat minit daripada waktu solat sedia ada berkuat kuasa Jumaat, 1 Ramadan 1441H bersamaan 24 April 2020.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perubahan tersebut adalah berdasarkan penggunaan nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi permulaan waktu terbit fajar Sadiq daripada 19 darjah yang digunapakai sebelum ini kepada 18 darjah.

“Adalah dimaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan telah mengampuni perkenan perubahan awal waktu solat Subuh bagi seluruh negeri ini hendaklah ditambah empat minit daripada waktu solat Subuh sedia ada.

“Keputusan Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan memutuskan bahawa perubahan ini hanya melibatkan waktu solat Subuh dan imsak manakala waktu solat lain tidak berubah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohamad Shukri Mohamad
Mohamad Shukri Mohamad

Mohamad Shukri berkata, bagi solat Subuh yang didirikan sebelum perubahan tersebut adalah sah dan tidak perlu diganti.

Mengikut takwim pada 1 Ramadan ini, waktu solat Subuh bagi zon 1 melibatkan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang (daerah Chiku) ialah 5.50 pagi manakala imsak pula jam 5.40 pagi.

Bagi zon 2 membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang (daerah Galas dan Bertam) dan jajahan Kecil Lojing, waktu solat Subuh ialah 5.53 pagi dan imsak jam 5.43 pagi.

Artikel Berkaitan: