Rahsia di sebalik ludahan buah pinang

Buah pinang yang menjadi medium petunjuk penting buat masyarakat Orang Asli ketika di dalam hutan.
Buah pinang yang menjadi medium petunjuk penting buat masyarakat Orang Asli ketika di dalam hutan.
A
A
A

LIPIS - Bukan sebarang ludah, rupanya ludahan buah pinang menjadi petunjuk penting buat masyarakat Orang Asli terutamanya ketika di dalam hutan.

Buah pinang dikatakan menjadi kegemaran buat masyarakat tersebut yang tanpa mengira jantina dan usia, dari golongan tua hingga kanak-kanak.

Buah itu atau nama saintifiknya "Areca Catechu" bukan sebarang kudapan yang dimakan untuk mengisi masa terluang.

Sebaliknya ia menjadi petunjuk penting buat masyarakat itu untuk menjejaki kesan yang ditinggalkan ketika di dalam hutan.

Jali Chayong, 47, suku kaum Semai memberitahu ludahan air pinang menjadi petunjuk awal buat mereka menjejaki sebarang kesan yang ditinggalkan di atas tanah.

"Bukan sebarang ludah, dan jika masih pekat, maksudnya masih baru dan sebaliknya jika telah pudar kesannya.

"Namun selain itu, ia telah menjadi tradisi turun-temurun selain sumber tenaga kepada kami serta bagus untuk kesihatan, "dakwanya lagi orang-orang tua memakan buah itu bersama sirih sebagai petua merawat batuk.

Dia yang berasal dari Kampung Lanchang, Pos Betau itu juga memberitahu, buah pinang hijau menjadi kegemaran mereka berbanding kebiasaan, kuning kemerah-merahan.

Artikel Berkaitan:

"Rasanya lebih kelat selain mudah dikunyah berbanding lagi satu, keras sikit dan kena guna godek, "katanya lagi.

Sementara itu seorang peniaga pasar malam, Siti Zainab Derapa, 60 memberitahu buah pinang antara barangan wajib yang dijual terutamanya ketika berniaga di perkampungan masyarakat tersebut.

Dia yang ditemui di Pasar Malam Pos Betau itu memberitahu, jualan buah tersebut sentiasa laku dan menjadi tumpuan Orang Asli.

Dijual dengan harga RM2 selonggok, dia membawa hingga 10 kilogram(kg) buah itu yang diperoleh daripada pokok yang ditanam di rumahnya, Kuala Medang.

"Memang pembelinya bukan sahaja lelaki, malah wanita dan budak sekolah pun membeli buah pinang bersama sirih yang turut dijual di sini.

"Tetapi memang mereka (Orang Asli) lebih suka yang warna hijau dan kuning pula lebih digemari orang Melayu, "ujarnya lagi sudah lebih 10 tahun dalam bidang tersebut.

Menurutnya, buah tersebut dikatakan juga bagus untuk merawat masalah dalaman wanita.

"Sekarang ini dah kurang orang Melayu beli, tapi warga asing dari Indonesia pun suka beli Pinang,"katanya.