Subsidi BUDI95 lesap ditipu sindiket panggilan telefon

ALOR SETAR - Seorang wanita mengalami kerugian selepas subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95), mata ganjaran dan nilai mata miliknya lesap setelah menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pihak Touch ‘n Go.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, wanita berusia 39 tahun yang bekerja sendiri itu datang ke pejabatnya untuk membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada Ahad.
"Mangsa memaklumkan individu berkenaan menawarkan kad Touch ‘n Go baharu yang memberi banyak manfaat antaranya berpeluang mendapat mata ganjaran dan baucar daripada kedai terpilih untuk mendapat diskaun hingga 80 peratus serta dapat berbelanja di luar negara menggunakan kad itu.
"Selepas mangsa bersetuju untuk mendapatkan kad baharu itu, dia diminta untuk membuka aplikasi Touch ‘n Go e-wallet dan individu berkenaan memberi arahan tertentu bagaimana untuk memohon kad tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, tanpa disedari pihak tersebut telah mengambil alih aplikasi dan dapat menggunakan aplikasi Touch ‘n Go mangsa.
"Mangsa kerugian dianggarkan RM150. Pihak tidak bertanggungjawab ini menyasarkan BUDI95, kerana subsidi petrol itu hanya ada di dalam aplikasi itu, jadi CAKE menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis serta pihak Touch ‘n Go berhubung perkara itu.
"Ada beberapa lagi individu yang tampil memaklumkan mereka turut menjadi mangsa. CAKE menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran melalui panggilan telefon kerana pada masa ini, ramai yang menggunakan pelbagai helah untuk membuat penipuan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
