Detik manis Verstappen di Sepang

Verstappen menjuarai perlumbaan F1 GP Bahrain yang penuh mendebarkan di Sepang pada Ahad. Foto: AFP.
Verstappen menjuarai perlumbaan F1 GP Bahrain yang penuh mendebarkan di Sepang pada Ahad. Foto: AFP.
A
A
A

MAX Verstappen mencipta detik manis dengan mengulangi kejayaan sembilan tahun lalu apabila muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berlangsung dalam keadaan penuh dramatik sebentar tadi.

Kemenangan tersebut cukup bermakna buat pelumba Red Bull itu yang menjuarai perlumbaan terakhir Formula 1 (F1) di Malaysia pada 2017, ketika baru berusia 20 tahun.

Selepas sembilan tahun, Verstappen sekali lagi menjejak podium tertinggi di Sepang, sekali gus meraih kemenangan sulungnya musim ini dalam perlumbaan yang tertangguh lebih 90 minit akibat hujan.

Juara dunia empat kali itu bermula dari petak pertama, namun berdepan permulaan sukar apabila kehilangan kedudukan kepada dua pelumba Mercedes, Kimi Antonelli dan George Russell dalam keadaan litar basah.

Situasi berubah pada pusingan kesembilan apabila kereta keselamatan dikeluarkan susulan Valtteri Bottas terbabas ke kawasan perangkap batu.

Kebanyakan pelumba mengambil kesempatan itu untuk menukar kepada tayar 'slick' ketika permukaan litar semakin kering, dengan Verstappen kemudian merampas semula pendahuluan selepas perlumbaan disambung.

Pelumba Belanda itu mula membuka jurang dan mengawal perlumbaan sehingga ke garisan penamat untuk meraih 25 mata.

Antonelli menamatkan saingan di tempat kedua untuk Mercedes, manakala pelumba Ferrari, Lewis Hamilton, melengkapkan podium selepas bangkit daripada kedudukan yang merosot pada peringkat awal.

Hamilton bermula di barisan hadapan dengan tayar kering, namun terpaksa bergelut ketika hujan menyebabkan permukaan litar licin sebelum menggunakan pengalamannya untuk kembali ke kelompok hadapan.

Artikel Berkaitan:

Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc, menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala pelumba Red Bull, Isack Hadjar, berada di kedudukan kelima.

Nasib malang menimpa Russell yang ketika itu berada di tempat ketiga sebelum terpaksa mengakhiri saingan lima pusingan sebelum tamat akibat masalah dipercayai membabitkan unit kuasa.

GP Bahrain itu berlangsung di Malaysia susulan isu keselamatan di rantau Teluk ekoran konflik Amerika Syarikat dan Iran. F1 selepas ini beralih ke Singapura untuk perlumbaan malam dan saingan pecut hujung minggu depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!