UTM tetapkan penggunaan AI 20 peratus dalam tugasan mahasiswa

JOHOR BAHRU - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam tugasan mahasiswa ditetapkan 20 peratus manakala baki 80 peratus perlu berasaskan kemahiran berfikir.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, garis panduan berkenaan diperkenalkan UTM bagi memastikan penggunaan teknologi AI dalam kalangan mahasiswa tidak menghakis keupayaan mereka untuk berfikir secara kritikal dan menghasilkan tugasan asli.
Menurut beliau, mahasiswa dibenarkan menggunakan pelbagai kemudahan dan peralatan AI bagi membantu menyiapkan tugasan, namun penggunaannya tidak boleh menjurus kepada penipuan akademik.
“Mahasiswa boleh menggunakan semua kemudahan kecerdasan buatan untuk menyiapkan tugasannya dan apa saja peralatan yang dia tahu, dia boleh gunakan.
“Bagaimanapun, yang tak boleh adalah menipu tugasan dengan menggunakan kecerdasan buatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pendaftaran pelajar baharu UTM bagi sesi akademik 2026/2027 di Kolej Tun Dr Ismail di sini pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan, UTM Kl menjadi institut pengajian tinggi (IPT) yang pertama menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan di negara ini.
Penubuhan pusat pengajian menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dilaksanakan dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.
Mohd Shafry memberitahu, pihak universiti mempunyai teknologi bagi mengesan penggunaan AI dalam penghasilan tugasan mahasiswa, selain menyemak tahap kesamaan tugasan dengan hasil kerja pihak lain.
“Sekiranya hasil tugasan mereka tinggi menggunakan AI, kita minta ubah semula tugasan supaya selari dengan syarat yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan menggunakan kecerdasan buatan,” ujarnya.
Beliau menambah, seramai 55 pelajar baharu mendaftar sebagai kohort pertama Fakulti AI di Kampus Johor Bahru tahun ini.
“Ini sebagai persediaan menyediakan atau melahirkan bakat-bakat tempatan dalam bidang AI sekali gus dapat menandingi keupayaan negara-negara luar yang membangunkan teknologi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

