SIC mampu anjurkan kembali F1 - Mokhzani

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mempunyai kemampuan dan pengalaman untuk kembali menganjurkan Formula 1 (F1) sekiranya peluang itu datang ke Malaysia pada masa hadapan, menurut Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Mokhzani berkata, pengalaman SIC dalam menganjurkan F1 masih utuh, sekali gus membolehkan pengurusan litar itu memastikan operasi acara berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang keputusan untuk membawa kembali F1 secara tetap akhirnya bergantung kepada kerajaan, memandangkan impak ekonomi perlumbaan tersebut perlu dinilai terlebih dahulu.
"Dari segi kemampuan litar, kita boleh buat. Sama ada kemampuan kewangan dan sebagainya itu tetapi saya pasti, kalau kita kaji balik impak ekonomi dan kesan bergandanya memang tinggi.
"Semua dapat menikmati sikit sebanyak apa F1 itu sebenarnya membawa kepada Malaysia," katanya pada sela-sela acara Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 di SIC, Sepang pada Ahad.
Mokhzani berkata, manfaat ekonomi tersebut tidak hanya terhad di kawasan litar, malah melibatkan pelawat yang menginap di Kuala Lumpur dan yang melancong ke destinasi-destinasi lain dalam negara.
Walaupun MAM sentiasa mahu F1 diteruskan di Malaysia, namun beliau berkata, sumber kewangan diperlukan untuk menganjurkan acara itu, bermakna sokongan kerajaan mungkin amat diperlukan.
Ditanya apakah formula kontrak yang sesuai untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, Mokhzani berkata, kontrak lima tahun dengan format "tiga + dua" merupakan susunan yang ideal kerana ia memberikan lebih kepastian kepada penganjur, peminat dan pengurusan Formula 1.

"Selalunya ia kontrak lima tahun. Tiga campur dua, kita mahu penonton jika mahu datang dapat merancang, dengan (perancangan) tahun pertama, mungkin sekiranya bagi mereka yang belum pernah datang ke Malaysia, mereka mahu lihat apa yang ada.
"Kemudian, pada tahun kedua mereka dapat rancang di hotel mana mereka boleh menginap, ke mana mahu pergi sebelum dan selepas itu (perlumbaan F1). Ini juga memberi peluang kepada pengurusan F1 untuk menjadualkan perlumbaan di negara kita dengan lebih mudah," katanya.
Mokhzani berkata, sambutan luar biasa terhadap perlumbaan tahun ini juga menunjukkan minat yang sangat mendalam terhadap F1 dalam kalangan peminat di Malaysia, dengan banyaknya tiket dilaporkan telah terjual.
Ditanya sama ada beliau terkejut dengan jumlah kehadiran, beliau menyifatkan sambutan itu sebagai cara peminat mengubat rindu terhadap ketiadaan F1 di Malaysia sejak 2017.
"Saya difahamkan 105,000 tiket dijual dan saya macam terkejut tengok hari 'practice' pada Jumaat pun orang datang dan semalam (Sabtu) sesi kelayakan juga penuh dan hari ini (Ahad) dijangka lebih ramai," katanya.
Pada Julai, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan perjanjian antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Perjanjian itu berjaya mengekalkan GP Bahrain di dalam kalendar F1 2026, selepas perlumbaan tersebut dibatalkan pada awal musim ini akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari tahun 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
