Empat penduduk dijangkiti antraks selepas makan daging kambing mati mengejut

GUNUNGKIDUL - Empat penduduk di Dadapayu, Semanu, Gunungkidul, Yogyakarta, Indonesia disahkan dijangkiti antraks selepas dipercayai memakan daging kambing yang mati secara mengejut.
Ketua Dinas Kesihatan Gunungkidul, Ismono berkata, kes itu mula dikesan selepas seorang penduduk mendapatkan pemeriksaan di pusat kesihatan pada awal September lalu dan menunjukkan gejala klinikal antraks.
“Pada awalnya ada penduduk yang mendapatkan pemeriksaan di pusat kesihatan dan didapati mengalami gejala klinikal antraks.
"Selepas siasatan epidemiologi, tujuh individu dikenal pasti sebagai suspek antraks,” katanya pada Khamis.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kesemua tujuh individu itu mempunyai sejarah bersentuhan dengan kambing yang mati secara mengejut.
“Mereka kemudiannya menjalani ujian PCR dan keputusan menunjukkan empat orang disahkan positif antraks,” katanya.
Susulan itu, pihak kesihatan menjalankan pengesanan terhadap individu yang mempunyai sejarah hubungan dengan kambing terbabit dan mendapati seramai 47 orang berisiko terdedah kepada antraks.
Dalam perkembangan sama, Ketua Bidang Kesihatan Haiwan Dinas Pertanian dan Makanan Gunungkidul, Retno Widyastuti berkata, pihaknya mengambil sampel tanah di lokasi penyembelihan selepas kes antraks dikesan.
Menurutnya, hasil ujian mendapati tanah yang mempunyai kesan darah itu positif tercemar antraks.
“Kami mengambil sampel tanah bekas tempat penyembelihan yang mempunyai kesan darah dan keputusan ujian menunjukkan ia positif antraks,” katanya.
Retno berkata, pihaknya masih menjalankan ujian terhadap sampel tanah di lokasi sama bagi memastikan proses nyahkuman yang dilakukan berjaya menghapuskan pencemaran.
Sementara itu, Ketua Dinas Pertanian dan Makanan Gunungkidul, Rismiyadi memberitahu, dia kesal kerana masih ada masyarakat mengamalkan ‘brandu’, iaitu menyembelih dan memakan haiwan yang mati secara mengejut.
Katanya, pihaknya sudah berulang kali memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya amalan itu.
“Penduduk sebenarnya boleh mendapatkan pampasan daripada kerajaan tempatan sekiranya melaporkan ternakan yang sakit atau mati untuk dikebumikan dengan selamat.
“Namun, masih ada yang sayang untuk melepaskannya sehingga apabila haiwan sakit, mereka menyembelihnya terlebih dahulu sebelum dimakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

