Janji daging kambing, hidang ayam cetus pergaduhan majlis kahwin

Seorang lelaki dilihat mengacukan sebilah pedang ke arah seorang tetamu. Foto NDTV
Seorang lelaki dilihat mengacukan sebilah pedang ke arah seorang tetamu. Foto NDTV
A
A
A

NEW DELHI – Sebuah majlis perkahwinan di daerah Saharsa, Bihar, India bertukar kecoh apabila berlaku pergaduhan antara keluarga pengantin lelaki dan perempuan yang dipercayai berpunca daripada pertikaian mengenai menu hidangan.

Kejadian berlaku di bandar Simri Bakhtiyarpur apabila tetamu daripada pihak pengantin lelaki mendakwa mereka dijanjikan hidangan daging kambing, namun hanya disajikan hidangan ayam.

Pertikaian itu kemudian menjadi pergaduhan apabila kedua-dua pihak berbalas serangan menggunakan kayu dan batang besi, lapor media tempatan.

Sekurang-kurangnya 12 individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan menerima rawatan di Hospital Sub-Divisional Simri Bakhtiyarpur.

Menurut laporan, majlis akad nikah antara Mohammad Abdullah atau dikenali sebagai Chand, anak kepada Mohammad Anwar, dengan anak perempuan Mohammad Javed atau Moto berlangsung pada petang Khamis dalam keadaan aman.

Namun, keadaan menjadi tegang ketika jamuan selepas majlis apabila tetamu daripada pihak pengantin lelaki mendakwa hidangan yang disediakan tidak menepati janji asal.

Pertengkaran mulut antara tetamu dan tuan rumah kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan beberapa individu dilihat memukul tetamu menggunakan kayu, manakala seorang lagi didakwa mengacukan pedang ketika kekecohan berlaku.

Polis yang tiba di lokasi berjaya mengawal keadaan dan membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta tindakan lanjut terhadap individu terbabit. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!