Anggota tentera ditahan bersama pistol, peluru dan cecair disyaki ketum

KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera ditahan bersama sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum dalam kejadian di kawasan parkir kereta di dalam Kem Askar Sungai Besi di sini pada 29 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.42 tengah malam.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan suspek yang juga penjawat awam.
"Polis turut merampas sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum bersama suspek.
"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Chun How berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
"Suspek sebelum ini direman selama lima hari sehingga 3 Oktober dan tempoh reman kini dilanjutkan lima hari lagi sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

