Kes dakwaan dedah dokumen rasmi membabitkan Caprice dirujuk kepada TPR Selangor

Caprice
Caprice
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung dakwaan pendedahan dokumen rasmi membabitkan personaliti media sosial, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selangor untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat seorang ahli perniagaan berhubung dakwaan berkenaan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes saman fitnah: Caprice jelaskan kos mahkamah RM8,320

Ahli perniagaan dapat injunksi, Caprice diarah padam kenyataan fitnah

Peguam yang mewakili ahli perniagaan terbabit, Muniandy Vestanathan berkata, pihaknya menerima surat bertarikh 28 Ogos 2026 yang ditandatangani Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin berhubung status siasatan berkenaan.

"Surat itu memaklumkan kertas siasatan terbabit telah dirujuk kepada Pejabat TPR Selangor pada 28 Julai 2026 untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

"Surat itu menyatakan bahawa kertas siasatan telah dihantar kepada Pejabat TPR Selangor pada 28 Julai 2026 untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut dan kini sedang dalam semakan perundangan oleh pejabat berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, ahli perniagaan terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 3 September tahun lalu.

Laporan itu dibuat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan tindakan Caprice yang didakwa mendedahkan dokumen rasmi di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Media pada 2 Disember lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 2 dan 3 Feb 2027 untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan ahli perniagaan Datuk Seri R. Jeyenderan terhadap penyanyi rap yang juga pempengaruh media sosial berkenaan.

Hakim Roslan Mat Nor turut menetapkan 7 April depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Pada 15 Oktober tahun lalu, mahkamah sama telah memberikan injunksi inter-parte memihak kepada plaintif dan turut memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, membayar RM8,000 sebagai kos kepada Jeyenderan dalam tempoh dua minggu.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi ad-interim yang dimohon Jeyenderan terhadap Caprice dan memerintahkan defendan agar segera memadam semua hantaran berunsur fitnah terhadap plaintif yang dimuat naik menerusi laman Instagram defendan pada Julai.

Jeyenderan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, telah memfailkan saman itu pada 21 Julai lepas dengan mendakwa Caprice pada 10 Julai telah memuat naik beberapa hantaran di Intagram termasuk gambar dan video dirinya yang didakwa mengaitkan beliau dengan aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, beliau mendakwa hantaran berunsur fitnah itu dibuat bagi menimbulkan syak wasangka, kebencian awam dan tekanan sosial terhadap dirinya selain menyatakan Caprice tidak pernah menghubungi beliau atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan yang serius itu.

Jeyenderan mendakwa tindakan Caprice jelas menunjukkan bahawa defendan tidak mempunyai niat untuk menyampaikan maklumat yang adil dan benar sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasi beliau dan menyatakan bahawa Caprice memiliki pengaruh yang besar di Instagram dengan jumlah pengikut lebih 1.5 juta orang.

Akibat penerbitan fitnah itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim terjejas di peringkat global serta mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak sebagai penceramah utama di Dubai, Turkiye dan India yang ditawarkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.

Sehubungan dengan itu, plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Muniandy berkata, surat berkenaan turut memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Muniandy, anak guamnya sudah menunggu perkembangan kes berkenaan selama kira-kira setahun.

"Anak guam saya membuat laporan pada 3 September tahun lalu dan sudah setahun kami menunggu maklum balas.

"Justeru, kami memohon perkembangan terkini berhubung status kes ini dan sama ada sebarang arahan lanjut telah dikeluarkan oleh Pejabat TPR," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!